Penyerang Johor Darul Ta’zim II, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak berlepas ke Fukuoka semalam bagi menyertai sesi percubaan bersama sebuah kelab J2 League, Roasso Kumamoto.

Sesi percubaan bersama kelab itu akan bermula dari hari Selasa selama 6 hari itu merupakan salah satu inisiatif Yakult bagi membantu bakat-bakat muda Malaysia mendapat pendedahan di Jepun.

Hadi Fayyadh yang mempamerkan aksi memukau ketika menyertai kejohanan Sanix Cup 2018 di Munakata, Fukuoka Mac lalu mendapat perhatian Roasso Kumamoto untuk diperhatikan dengan lebih rapat.

“Saya rasa teruja dan tidak sabar untuk berlatih serta menimba ilmu dengan kelab itu. Peluang bersama kelab ini adalah kesempatan terbaik untuk saya meningkatkan kemahiran terutama menjelang Kejohanan AFC B-19, tidak lama lagi.

“Terima kasih kepada pasukan saya kerana memberi pelepasan, jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dan Bojan Hodak yang menyokong saya serta Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada kerana membantu menaja saya ke Jepun. Saya berjanji untuk lakukan yang terbaik,” katanya kepada Berita Harian.

J2 League 2018 masih berbaki 18 perlawanan dan Roasso Kumamoto berada dikedudukan kedua tercorot selepas 27 perlawanan dengan 23 mata hasil dari 6 kemenangan, 5 seri dan 16 tewas.