Terengganu FC (TFC) terus mencatat kemenangan dengan penuh bergaya apabila berpesta gol membelasah Sri Pahang (TFC) 4-2 sekaligus mara ke peringkat suku akhir TM Piala Malaysia 2022 dengan agregat 9-3.

Tok Gajah hadir dengan misi untuk bangkit memadam defisit jaringan 5-1 ketika tewas dalam perlawanan pertama di Kuantan namun ia tidak menjadi kenyataan apabila bolos seawal minit ke 2.

Jaringan tersebut dihasilkan oleh Kpah Sherman yang mudah menanduk masuk menewaskan Mohamadou Samassa selepas menerima hantaran daripada Faisal Halim.

Keadaan padang yang basah juga tidak membantu Sri Pahang dan kesempatan itu dimanfaatkan oleh TFC untuk melakukan serangan balas sehingga memberi tekanan kepada benteng pertahanan lawan.

Usaha skuad kendalian Nafuzi Zain itu membuahkan hasil apabila Faisal Halim menambah gol kedua pada minit ke 29 selepas menerima umpanan daripada Kpah Sherman dalam kawasan kotak penalti.

Tok Gajah cuba bangkit mencari jaringan pertama namun gandingan 3 serangkai iaitu Rodriguez, Lee Tuck dan Manuel Hidalgo gagal menembusi benteng pertahanan TFC yang beraksi dengan cukup berdisiplin.

5 minit kemudian, giliran pemain pertahanan kanan TFC, Azam Azmi Murad menambah gol ketiga hasil hantaran ‘through pass’ daripada Faisal Halim yang mengucar-kacirkan benteng pertahanan Tok Gajah.

10 minit sebelum tamat separuh masa pertama, TFC terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas Shahrul Nizam dilayangkan kad merah kerana didapati menarik baju penyerang import Sri Pahang, Rodriguez.

Bagaimanapun, Tok Gajah gagal mengambil kesempatan terhadap kekurangan pemain tuan rumah sebaliknya melakukan kesilapan dengan memberikan sepakan penalti.

Kpah Sherman menyempurnakan sepakan penalti tersebut sekaligus memastikan TFC mendahului dengan 4-0 sebelum tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Tok Gajah mula mempamerkan kebangkitan dan lebih banyak memberi tekanan kepada benteng pertahanan TFC.

Pada minit ke 71, Lee Tuck berjaya memecahkan kebuntuan apabila merembat masuk bola yang ditampan oleh pemain pertahanan TFC. Jaringan itu disahkan oleh pengadil kerana penjaga gol TFC, Suhaimi didapati menangkap bola melepasi garisan gawang gol.

Sri Pahang terus bernafsu menambah gol kedua menerusi Rodriguez yang merembat kencang bola hantaran Lee Tuck menewaskan Suhaimi pada minit ke 84.

Namun begitu, kebangkitan tersebut agak terlambat kerana mereka memerlukan 7 gol untuk memadam defisit jaringan. Dengan kemenangan itu, TFC akan bertemu finalist Piala AFC, Kuala Lumpur City (KL City) di peringkat suku akhir pada 6 dan 11 November 2022.