Kejadian tidak diingini berlaku setelah aksi separuh akhir kedua saingan TM Piala Malaysia 2022 antara Terengganu menentang Selangor apabila bas pemain Selangor dibaling batu oleh segelintir peminat pasukan tuan rumah.

Menurut perkongsian beberapa individu di laman media sosial, ada segelintir peminat Terengganu yang membaling batu dan juga kon terhadap bas pemain Selangor ketika mereka meninggalkan stadium untuk menuju pulang ke Lembah Klang.

Menurut perkongsian Roni Andika Zainintawa, batu yang dibaling oleh penyokong Terengganu hampir terkena kepala pemain selain anak-anak kecil yang merupakan ahli keluarga pemain juga menangis ketakutan.

Selain itu, menurut perkongsian Aweef di laman media sosial Twitter, peminat yang berada di dalam stadium terlebih dahulu dibaling dengan pelbagai objek seperti botol air dan juga bekas makanan.

Perkara ini dianggap memalukan dan tidak profesional kerana boleh mendatangkan bahaya serta kecederaan terhadap pemain selain memberi imej buruk terhadap pasukan Terengganu.

Terdahulu, Terengganu gagal untuk mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini setelah mereka tewas dengan agregat 3-2 pada aksi separuh akhir menentang juara 33 kali itu.

Kipre Tchetche menjaringkan gol tunggal bagi Terengganu pada aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin namun gol tersebut tidak cukup untuk membawa naib juara Piala FA itu ke pentas akhir.

Selangor beraksi dengan 10 orang pemain pada minit ke-87 selepas Yazan Al Arab diperintah keluar padang apabila mengutip kad kuning kedua. Ia berpunca daripada kekasarannya yang dilakukan terhadap Kipre Tchetche.

Kelebihan itu gagal dimanfaatkan oleh Terengganu apabila gagal menambah jaringan sehingga minit akhir perlawanan sekaligus memastikan tiket ke final TM Piala Malaysia 2022 menjadi milik Selangor.

Selangor akan bertemu juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 November di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ia juga merupakan perlawanan yang penting kerana juara Piala Malaysia musim ini akan mendapat tiket beraksi di Piala AFC tahun depan.