Terengganu tidak menyambung kontrak dua pemain import mereka iaitu David Da Silva dan Makan Konate bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawa Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana kelab dari Pantai Timur itu bakal mencari pemain import baharu bagi menghadapi saingan musim 2022.

David Da Silva menampilkan prestasi yang kurang memberangsangkan di bahagian serangan Terengganu musim ini. Pada awal musim, pemain dari Brazil itu menjadi pilihan ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk diletakkan dalam kesebelasan utama.

Malah, dalam beberapa perlawanan, David dilantik sebagai ketua pasukan. Namun, prestasi yang tidak konsisten menyebabkan pemain itu kehilangan tempat dan digantikan dengan Jordan Mintah khususnya dalam saingan Pial Malaysia.

Berbeza dengan Konate, pemain dari Mali itu dianggap menampilkan prestasi yang baik di bahagian tengah bersama Habib Haroon dan Dechi Marcel N’Guessan.

David dan Konate masing-masing dikaitkan dengan kepulangan ke saingan Liga 1 Indonesia memandangkan kedua-dua pemain mencipta nama di negara tersebut sebelum datang ke Malaysia.

Kelab Liga Super turut tidak ketinggalan dimana Selangor dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat Konate setelah mereka kehilangan Ifedayo Olusegun yang bakal menyertai Melaka.

Pihak pengurusan Terengganu dilaporkan bersedia untuk menawarkan kontrak lanjutan kepada Habib dan Dechi Marcel ekoran prestasi baik yang ditampilkan oleh kedua-dua pemain sepanjang musim ini.

Dibawah bimbingan Nafuzi, Terengganu menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat dan mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia.

Perjalanan mereka tamat di separuh akhir setelah tewas dengan keputusan 4-1 secara agregat kepada juara bertahan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Jordan Mintah Kekal Bersama Terengganu Musim Hadapan

Annuar Musa Buat ‘Spekulasi’ 40,000 Penonton Dibenarkan Masuk Ke Final TM Piala Malaysia Di Bukit Jalil

Ifedayo Olusegun Semakin Hampir Kembali Ke Melaka United