Ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner mengakui lebih optimis dengan skuad kendaliannya selepas meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam kempen Liga Super Malaysia 2023.

Selepas permulaan yang kurang baik susulan kekalahan di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah, Terengganu pada ketika ini berada di landasan terbaik untuk semakin meningkatkan kemampuan.

Ia jelas dibuktikan apabila Terengganu berjaya menjaringkan sembilan gol dan hanya dibolosi sekali pada tiga aksi terakhir dalam saingan liga.

Terbaharu, anak buah Steinbruckner mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Kuching City pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.

“Pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemain saya. Kami mendapatkan tiga mata penuh. Kami berhak mendapatkannya.”

Kredit Foto: Terengganu FC

“Kami mendapat pasukan yang lebih baik, mencipta banyak peluang. Kami boleh mendapatkan kelebihan yang lebih baik pada perlawanan malam ini,” ujar Steinbruckner kepada Astro Arena selepas perlawanan.

“Tetapi saya berpuas hati kerana Jordan [Mintah] menjaringkan dua gol dan kami gembira kerana itu serta optimis untuk menghadapi perlawanan akan datang.”

“Pada permulaan musim, perlawanan pertama kami bertemu JDT tetapi selepas itu aksi bertemu Kedah dan Negeri Sembilan, kami bermain baik tetapi tidak berjaya menjaringkan gol.”

“Kami mempunyai masalah pada permulaan untuk menyempurnakan peluang tetapi sekarang ia kelihatan semakin bertambah baik dan kami mendapatkan lebih banyak gol dan mata.”

“Daripada lima, enam perlawanan terakhir, saya berpuas hati dengan cara kami bermain dan apabila kami melihat ke hadapan, kami boleh optimis [untuk terus meraih kemenangan],” tambah Tomislav lagi.

Sumber