Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain berharap pasukannya mampu mengelak daripada terus tercicir mata tatkala mereka ketika ini semakin konsisten mendaki kedudukan Liga Super untuk berada di tangga kedua selepas menewaskan Selangor 2-1, kelmarin.

Mengakui perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bukan mudah pada saat skuad kendalian Karsten Neitzel mendahului lebih awal menerusi gol penalti yang disempurnakan oleh Ifedayo Omosuyi, Nafuzi memuji usaha keras anak buahnya yang tidak mengalah untuk kembali bangkit pada minit-minit akhir.

Kemenangan tersebut nyata merapatkan lagi jurang Terengganu dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan perbezaan tiga mata dan jurulatih kelahiran Kelantan ini mahu prestasi sebegini kekal kerana sedikit kesilapan akan memberi ruang kepada pasukan lain terutamanya, Kedah Darul Aman FC memintas kedudukan mereka.

“Peluang sekarang lebih terbuka apabila dibezakan tiga mata dengan pendahulu dan bagi saya, setiap pasukan memang mengimpikan untuk menjadi juara.”

“Dengan skuad yang kita ada sekarang, bagi saya ini adalah yang terbaik terutamanya pemain-pemain muda, cuma paling penting adalah konsisten kerana kalau kita tengok, Terengganu ni kadang-kadang beraksi baik, kadang-kadang tidak.”

“Jadi, fokus perlawanan demi perlawanan untuk kita kekal dengan keputusan terbaik, kerana apabila kita meraih kemenangan, automatik pasukan akan sentiasa berada di atas.”

“Tahniah untuk semua pemain Terengganu termasuk pemain-pemain simpanan yang dimasukkan untuk mereka serap tekanan yang ada dan akhirnya meraih gol kemenangan pada saat akhir,” tambah Nafuzi Zain lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan terkini pasukan Terengganu FC:

Nafuzi Mahu Pakai Lima Pemain Import, Beri Bayangan Sanjar Shaakhmedov Berada Dalam Perancangan

Nafuzi Zain: Kualiti Permainan Terjejas Kerana Permukaan Padang

Nafuzi Zain Puji Prestasi Yang Ditampilkan David Da Silva