Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh mengesahkan pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat Safawi Rasid yang kini beraksi di Liga Thailand bersama Ratchaburi FC.

Bagaimanapun, Ab Rasid Jusoh berkata ia bergantung pada persetujuan daripada pihak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mendapatkannya secara pinjaman bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Khidmat Safawi diperlukan oleh TFC bagi memperkuatkan jentera serangan skuad Penyu yang bakal beraksi dalam Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) yang dijadualkan bermula Ogos ini.

“Sejujurnya kita begitu berminat untuk menggunakan khidmat pemain itu (Safawi) bagi memperkuatkan lagi jentera sayap dan serangan pasukan lebih-lebih lagi kami bakal beraksi dalam saingan Piala AFC selain Liga Malaysia (Liga M).

“Lagipun kami sudah berusaha ke arah itu (mendapat Safawi) selepas dikhabarkan pemain berusia 26 tahun itu tidak begitu gembira dan selesa beraksi bersama kelab Ratchaburi FC dan bersedia untuk kembali mewarnai Liga M.

“Jika tidak ada sebarang masalah, Insya-Allah bekas pemain kelab T-Team itu bakal kembali mewarnai pasukan negeri kelahirannya pada jendela kedua perpindahan pemain nanti,” katanya dipetik dalam Harian Metro.

Dalam satu wawancara eksklusif, TMJ menegaskan beliau masih berhubung dengan Safawi dan merasakan pemain itu tidak begitu selesa di Thailand.

“Safawi ada berhubung dengan saya. Saya rasa dia tak begitu selesa di sana. Kita tengok macam mana kerana yang nak pergi loan bukan saya yang hantar dia. Dia yang nak pergi sendiri.

“Kami hanya memberi kerjasama kepada beliau dimana dia nak dapat lebih banyak permainan dan kami beri itu semua. Buat masa ini masih belum ada kata putus sama ada dia nak balik ataupun tidak.

“Saya tahu dia kurang selesa di sana. Ada ura-ura yang mengatakan Safawi Rasid nak balik sini (JDT). Tetapi tengok dulu. Saya pun belum membuat keputusan,” kata TMJ.

Safawi berjaya menjaringkan gol pertama beliau bersama Ratchaburi ketika turun menentang Chonburi bulan lalu dalam saingan Thai League 1.