Pemain Naturalisasi, Liridon Krasniqi secara rasminya bersama pasukan Terengganu FC bagi musim 2023 selepas menandatangani kontrak sebagai pemain pinjaman dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kontrak satu tahun.

Liridon Krasniqi, sebelum ini beraksi dengan skuad Khon Kaen United FC pada musim 2022 secara pinjaman akan mengisi slot sebagai pemain tempatan untuk pasukan Terengganu FC pada musim ini dan menyatakan beliau bakal memberi komitmen yang penuh bersama pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner tersebut.

Ini adalah untuk memastikan beliau dapat membantu pasukan Terengganu memburu kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia dan Piala AFC.

Beliau yang bakal memakai jersi bernombor 80 memberikan lebih pilihan di bahagian tengah pasukan itu.

Pemain yang berasal dari Kosovo ini juga ingin memastikan kehadiran beliau berbaloi dan dapat memikat hati para penyokong Terengganu FC.

Liridon dijangka bakal berada dalam skuad Terengganu FC dalam perlawanan persahabatan menentang Odense Blodklub FC hari ini.

Terengganu merupakan kelab keempat Liga Malaysia disertai oleh pemain yang berusia 31 tahun itu. Selain JDT, beliau pernah menyarung jersi Kedah Darul Aman ketika dibawah bimbingan Tan Cheng Hoe serta Melaka United.

Pada tahun 2021, Mat Don sempat merasai pengalaman beraksi dalam 9 perlawanan A-League apabila dipinjamkan ke Newcastle Jets selama 6 bulan.

Kemudian, beliau menyertai kelab Liga India iaitu Odisha dan diiktiraf sebagai ‘Raja Gelecek’ Liga Super India (ISL) untuk musim 2021/22. Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh ISL, Liridon memiliki purata 91.67% kejayaan melepasi lawan hasil skil individunya itu.

Malah, beliau turut digelar sebagai ‘The General’ di kalangan pengikut ISL dimana beliau membuat 16 penampilan secara keseluruhan untuk kelab yang berpengkalan di Bhubaneswar sepanjang musim.

Sejak itu, Liridon dipanggil menyertai skuad kebangsaan dibawah kendalian Kim Pan-gon menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa di Singapura dengan menentang tuan rumah selain Filipina dan Albirex Niigata Singapore dimana beliau menjaringkan dua gol.

Bagaimanapun, nama beliau digugurkan daripada senarai akhir 23 pemain untuk menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023 tahun lepas.

Bersama Terengganu merupakan peluang terbaik beliau untuk kembali memikat Kim Pan-gon dan mendapatkan lebih banyak minit permainan apatah lagi skuad penyu bakal beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini.