Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) mengesahkan mereka tidak bercadang untuk menggantikan Ketua Jurulatih pasukan, Tomislav Steinbruckner dengan pengendali baru.

Baru-baru ini, timbul khabar angin bahawa bekas ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak akan kembali ke Liga Malaysia mengendalikan sebuah pasukan dari pantai timur.

Rata-rata peminat bola sepak tempatan berpendapat pasukan yang dimaksudkan itu mungkin Terengganu berdasarkan kemerosotan prestasi dalam saingan Liga Super musim ini sejak dibimbing oleh Tomislav.

Bagaimanapun, TFC dalam kenyataan rasmi mengumumkan berita mengenai perlantikan jurulatih baharu adalah tidak benar dan khidmat Tomislav dijangka kekal sehingga penghujung musim ini.

“Terengganu FC tidak akan melakukan tindakan terburu-buru yang melibatkan pengendali pasukan dan pada ketika ini jawatankuasa teknikal kelab serta barisan kejurulatihan sedang dalam usaha bagi memperkemaskan pasukan untuk perlawanan Liga Super yang bakal bersambung pada 19 Mei ini serta membuat penyenaraian akhir pemain yang ingin dibawa masuk setelah jendela perpindahan dibuka Julai ini.

“Pihak Terengganu FC juga menyeru agar para penyokong atau mana-mana pihak tidak mudah terpengaruh serta menyebarkan berita yang tidak sahih seperti ini kerana ianya dilihat dapat mendatangkan impak yang kurang baik dalam perhubungan kelab ini,” tulis kenyataan rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh turut mengesahkan perkembangan itu dan menjelaskan pihaknya tidak pernah berbincang dengan mana-mana jurulatih termasuk Aidil Sharin.

“Setakat ini pihak kami tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan pun dengan jurulatih itu (Aidil Sharin) untuk membimbing skuad TFC.

“Dakwaan yang mengaitkan jurulatih itu bakal melatih pasukan TFC oleh sesetengah pihak adalah tidak betul selain mengharapkan pihak tertentu tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat kerana ia sedikit sebanyak boleh mengganggu persediaan pasukan dan hubungan dalam kelab,” katanya dalam Berita Harian.