Hasrat Terengganu FC untuk menggunakan pemain pertahanan import baharu mereka, Luis Gustavo pada perlawanan menentang Melaka United dalam saingan Liga Super 2019 hujung minggu ini tidak kesampaian apabila pemain itu menghadapi masalah berkenaan International Transfer Certificate (ITC).

Perkara ini disahkan oleh TFC menerusi satu pengumuman di media sosial rasmi pasukan. TFC menegaskan sehingga kini mereka masih belum menerima ITC milik Luis dan terpaksa menunggu jawapan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Luis Gustavo ditandatangani pada jendela perpindahan kedua bagi menggantikan Igor Zonjic yang digugurkan kerana menampilkan prestasi yang kurang memuaskan pada separuh masa pertama saingan Liga Malaysia musim ini. Pemain dari Serbia itu gagal mengekalkan prestasi cemerlang sepertimana yang beliau tampilkan musim lalu.

Tambah TFC, mereka telah menyempurnakan segala dokumen yang diperlukan bagi prosedur FIFA Transfer Matching System (TMS) untuk perpindahan pemain antara Negara. Sebaik ITC diterima, Luis akan segera diterbangkan ke Malaysia untuk menyertai pasukan. Kini pemain berusia 27 tahun itu masih menjalani latihan bersama kelabnya.

Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Luis Gustavo, TFC mengambil pendekatan untuk menurunkan pemain pertahanan daripada Feeder Club mereka iaitu Terengganu FC II pada perlawanan menentang Melaka United dan juga Perak.