Terdahulu, badan pengendali Liga iaitu Malaysia Football League (MFL) keluarkan garis panduan kepada kepada setiap pasukan Liga Malaysia 2020 selaras dengan arahan perintah kawalan pergerakan akibat penularan wabak COVID-19 seperti yang diumumkan oleh pihak Kerajaan Malaysia.

Antara pematuhan yang perlu dilakukan oleh semua pasukan Liga Malaysia adalah tidak membuat sebarang sesi latihan, tidak mengadakan sebarang perlawanan persahabatan dan pemain import tidak dibenarkan ke luar negara sepanjang tempoh kawalan pergerakan selama 2 minggu.

Bagi memastikan tahap kecergasan setiap pemain sentiasa berada dalam keadaan terbaik apabila Liga Malaysia kembali bersambung, skuad Terengganu FC mengambil pendekatan ‘work from home’ iaitu bekerja dari rumah.

Ia bermakna setiap pemain dalam pasukan tersebut diwajibkan menghantar video latihan mereka di rumah setiap hari kepada jurulatih mereka untuk dinilaikan.

Perkembangan itu didedahkan oleh ketua jurulatih Terengganu FC II, Rashadi Wahab melalui laporan dalam arena metro.

“Kami bagi program latihan kepada setiap pemain dan mereka perlu berlatih sendiri di kediaman masing-masing selama dua jam sehari dan pemain juga perlu merakam video latihannya itu sebelum di hantar kepada jurulatih.

“Aspek utama yang diberi penekanan dalam latihan sendiri kepada pemain itu adalah berkaitan kelajuan dan ketangkasan, mereka perlu melakukan latihan dan menghantar video pada setiap hari kecuali Jumaat.

“Ini kerana pengubahsuaian latihan ini penting bagi memastikan momentum pemain berada pada tahap terbaik berikutan arahan PKP oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Sehingga kini saya berpuas hati kerana semua pemain mengikuti arahan dengan baik dan mereka menghantar video latihan,” katanya.

Selain Terengganu FC, skuad JDT turut menjalani latihan di rumah dengan diberi program kecergasan untuk tempoh dua minggu oleh Jurulatih Kecergasan, Jorge Alvarez.

Selain itu, mereka turut dibekalkan dengan rutin latihan harian yang memberi fokus kepada latihan aerobik, tenaga, ‘core’ dan fleksibiliti sehingga pemain dijangka kembali semula berlatih berpasukan pada 1 April 2020.

Menurut kenyataan daripada JST, rutin ini berbeza dari hari ke hari dan barisan kejurulatihan JDT sentiasa menghubungi pemain menerusi panggilan video dan pesanan ringkas.

Para pemain juga diberikan panduan diet pemakanan yang mereka perlukan bagi memastikan pengambilan nutrisi yang mencukupi serta pengurusan berat badan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Terengganu FC melalui pautan dibawah.

Nafuzi Zain: “Saya Akan Gunakan Masa Ini Menilai Kelemahan Pasukan Dan Analisis Perlawanan Lepas”

Isu Tunggakan Gaji Terus Menghantui Terengganu FC

Perlawanan PJ City Menentang Terengganu FC Ditangguhkan Kerana Tiada Stadium

Sumber