Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain menegaskan pasukannya bakal berdepan cabaran sukar apabila bertandang ke Alor Setar bagi menghadapi juara Piala FA 2019, Kedah dalam perlawanan peringkat kumpulan A Piala Malaysia musim ini.

Menurut Nafuzi, Kedah merupakan satu pasukan yang mantap di semua posisi apatah lagi mereka masih lagi segar dengan kejayaan merangkul Piala FA. Jurulatih yang diberi tanggungjawab untuk menggantikan Irfan Bakti itu lebih selesa meletakkan pasukan bimbingannya sebagai underdog pada perlawanan akan berlangsung malam ini.

Nafuzi Zain
Nafuzi ketika perlawanan Liga Super 2019
Sumber Gambar: Terengganu FC

Nafuzi berkata: Barisan depan skuad itu juga perlu diawasi kerana mereka antara pasukan yang memiliki jentera serangan paling tajam dalam liga Malaysia (Liga M) musim ini, kita dapat jangkakan tentangan sengit bakal dihadapi dan sudah pasti pemain kita perlu lebih bersedia daripada segi mental serta fizikal.

“Justeru saya menyifatkan pertemuan kedua kempen Piala Malaysia itu pastinya cabaran getir buat TFC untuk menyaingi lawan yang memiliki reputasi sebagai juara,” kata Nafuzi menurut laporan Berita Harian.

Pada aksi pertama kumpulan A, Terenganu dan Kedah masing-masing mencatat kemenangan dimana TFC berjaya menewaskan PKNS FC dengan keputusan 3-1 manakala Kedah menewaskan Negeri Sembilan juga dengan keputusan sama.

Tambah Nafuzi, beliau tidak berasa risau dengan kecederaan yang melanda pemain utama pasukan dan yakin anak buahnya mampu untuk mencapai sasaran mengutip sekurang-kurangnya satu mata.

“Ketiadaan pemain itu tidak akan menjejaskan semangat pemain lain, mereka sudah buktikan ketika menundukkan PKNS 3-1 pada aksi pertama peringkat kumpulan minggu lalu dan berharap pencapaian itu mampu diulang,” tambahnya.