Pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Terbuka Switzerland 2023 apabila mengesahkan tempat ke separuh akhir, sebentar tadi.

Lebih manis, lawan yang ditumpaskan oleh Lee Zii Jia adalah pemain yang menundukkannya ketika aksi pusingan kedua Terbuka Jerman pada awal bulan lalu iaitu Lee Chia Hao dari Chinese Taipei.

Malah ia bakal menjadi aksi separuh akhir kedua berturut-turut buat Zii Jia apabila minggu lalu berdepan Shi Yu Qi dalam saingan All England.

Kemenangan ‘straight set’ 21-12, 21-17 dalam tempoh masa 37 minit itu menyaksikan Zii Jia akan menempah pertemuan separuh akhir dengan pemain Jepun, Koki Watanabe yang kini berada di ranking ke-37 dunia.

Meskipun kedudukan ranking jelas memihak Lee Zii Jia tetapi sudah pasti tiada lawan mudah buat mana-mana pemain apatah lagi saingan sudah memasuki fasa empat terbaik.

Tambahan pula Watanabe mempamerkan aksi cemerlang ketika menundukkan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu dengan kemenangan ‘straight set’ 22-20, 21-17 pada aksi suku akhir.

Sementara itu, empat lagi wakil negara akan beraksi bermula jam 1 pagi nanti yang menyaksikan Ng Tze Yong menentang pilihan ketiga kejohanan, Chou Tien Chen dari Chinese Taipei.

Pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan menanti cabaran gandingan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula bakal berdepan dengan wakil Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran.

Sementara itu, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula berdepan cabaran getir apabila akan bertemu Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulanda dari Indonesia.