Kem negara sekurang-kurangnya sudah mempunyai empat wakil yang akan beraksi di suku akhir kejohanan Terbuka Switzerland 2023 apabila Lee Zii Jia bersama-sama pasangan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya menewaskan lawan masing-masing sebentar tadi.

Diletakkans selaku pemain pilihan kedua kejohaanan, Zii Jia bagaimanapun diberikan tentang sengit oleh lawan yang dibimbing oleh jurulatih kelahiran Malaysia, Iskandar Zulkarnain terutamanya pada set pertama.

Ketika Zii Jia sudah meninggalkan lawan tersebut dengan kedudukan 17-12, Nguyen bangkit untuk mengikat kedudukan 19-19. Tetapi, sandaran utama negara itu bangkit untuk memperbaiki kesilapan dan kemudiannya mencatatkan kemenangan 21-19.

Aksi pada set kedua juga memperlihatkan Zii Jia diberikan cabaran sengit, namun beliau kental bertahan untuk mengesahkan kemenangan 21-15 bagi menempah aksi suku akhir.

Menanti beliau di suku akhir adalah pemenang antara dua pemain yang mengharungi pusingan kelayakan iaitu Mithun Manjunath dari India dan pemain Chinese Taipei, Lee Chia Hao.

Sementara itu, pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terlebih dahulu mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menundukkan Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura dalam aksi yang berlangsung ke set penentuan.

Aksi kemas bagaimanapun ditampilkan pasangan dari Jepun itu pada set pertama untuk mencatatkan kemenangan 21-15. Namun, gandingan kedua negara kembali bangkit dengan memperkemaskan aksi lebih kemas untuk menang pada dua set berikutnya dengan 21-13, 21-15.

Yew Sin dan Ee Yi akan bertemu pemenang antara Lee Jhe Hui-Yang Po Hsuan dan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Kecemerlangan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diteruskan dalam saingan ini apabila pasangan beregu campuran itu berjaya menundukkan He Ji Ting-Du Yue dalam aksi yang juga berlanjutan hingga ke set penentuan.

Tewas set pertama 11-21, Tang Jie dan Ee Wei tidak memandang ke belakang lagi untuk meraih kemenangan 21-14, 21-14 bagi menanti pemenang antara Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda yang akan bertemu gandingan suami isteri, Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han.

Satu lagi slot yang pasti menjadi milik Malaysia ialah bagi acara perseorangan lelaki apabila Ng Tze Yong akan berhadapan dengan pemain profesional negara, Cheam June Wei.

Sementara itu pasangan juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas buat kali kedua berturut-turut ditangan Akira Koga-Taichi Saito dalam tempoh dua minggu apabila tunduk dalam aksi ‘rubber set’ 21-17, 16-21, 17-21.

Malaysia masih berpeluang untuk menambah wakil pada aksi suku akhir Terbuka Switzerland esok apabila pasangan wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien sedang beraksi bertemu gandingan dari Korea Selatan (menang set pertama ketika berita ini ditulis) manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Goh Jin Wei akan beraksi sebentar lagi.