Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia melangkah ke pusingan kedua kejohanan Terbuka Switzerland 2023 apabila berjaya menewaskan Li Shi Feng pada aksi yang cukup mendebarkan, malam tadi.

Berdepan lawan yang baharu sahaja bergelar juara All England, Zii Jia jelas tidak diberikan laluan mudah tambahan pula banyak kesilapan mudah dilakukannya sehingga membolehkan wakil dari China itu menang set pertama dengan mata 21-18.

Skrip yang sama berulang pada set kedua dengan aksi kejar-mengejar mata ditampilkan tetapi nasib lebih menyebelahi Zii Jia untuk mencatatkan kemenangan 21-18 bagi mengheret permainan ke set penentuan.

Selain daripada aksi kejar-mengejar mata, banyak juga kesilapan mudah dilakukan kedua-dua pemain terutamanya dalam melakukan tolakan ke belakang yang akhirnya memberikan kemenangan berharga buat wakil negara untuk dengan 23-21.

Menanti Zii Jia pada pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung malam ini ialah pemain dari Ireland, Nguyen Nhat selepas beliau mengejutkan wakil Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito.

Sementara itu, lima lagi wakil negara turut melangkah ke pusingan kedua apabila pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie/Toh Ee Wei mengalahkan Nicolas Mueller/Ronja Stern dari Switzerland dengan kemenangan 21-11, 21-13.

Pasangan kekasih, Goh Soon Huat/ Shevon Lai Jemie pula terpaksa berhempas-pulas untuk menundukkan gandingan Indonesia, Praveen Jordan/Melati Deva Oktavianto 13-21, 21-15, 22-20 manakala pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei menewaskan Line Højmark Kjaersfeldt (Denmark) 12-21, 21-17, 21-13

Dua pemain perseorangan lelaki, Cheam June Wei dan Ng Tze Yong pula menewaskan rakan senegara, Liew Daren dan Soong Joo Ven untuk turut mengiringi Lee Zii Jia.

Kelmarin, tiga wakil negara dalam acara beregu iaitu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien (beregu wanita) terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan kedua Terbuka Switzerland 2023 sekali gus menyaksikan sembilan wakil negara akan beraksi pada malam dan pagi nanti.