Hasrat beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia 2023 (Super 1000) tidak menjadi kenyataan apabila mereka tewas kepada beregu no 1 dunia dari Indonesia, Fajar Alfian dan Rian Ardianto (Fajri).

Sambil ditemani sorakan padu daripada ribuan penyokong tempatan, gandingan Ong-Teo yang kini dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Rosman Razak mempamerkan permainan menyakinkan apabila memenangi set 1 dengan keputusan 21-14.

Bagaimanapun, beregu Indonesia tersebut tidak mudah menyerah kalah di set 2 dan mereka bangkit mendahului 11-8 sebelum waktu rehat. Situasi itu memberi sedikit tekanan kepada Ong-Teo sehingga melakukan beberapa kesilapan mudah.

Perlawanan set 2 memihak kepada gandingan Fajri dengan keputusan 21-16 sehingga terpaksa diheretkan ke set 3 (rubber set).

Set 3 menyaksikan gandingan Fajri mempamerkan corak permainan lebih agresif dan banyak menyerang sehingga memerangkap Ong-Teo. Dari segi kepantasan juga tidak mampu ditandingi oleh beregu negara sehingga memastikan kemenangan berpihak gandingan Fajri 21-17.

Keputusan itu juga menambah kekecewaan peminat badminton tanah air selepas beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas di tangan pilihan kedua kejohanan dari Thailand yang juga juara dunia 2021, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 19-21, 9-21 petang tadi.

Ia juga bermakna tiada wakil negara akan beraksi di peringkat separuh akhir esok apabila kesemua pemain tewas lebih awal sehingga mengundang pelbagai kritikan daripada peminat.