Lee Zii Jia menerima tamparan hebat dalam kejohanan badminton Petronas Terbuka Malaysia 2023 apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama dalam aksi yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Pemain perseorangan utama negara itu menjadi mangsa kepada keampuhan yang ditunjukkan wakil dari Jepun, Kodai Naraoka dengan keputusan   21-13, 17-21, 19-21 dalam masa lebih satu jam permainan.

Tidak pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan sebelum ini, Zii Jia yang turun selaku pemain ranking kedua dunia itu terlebih dahulu tampil garang pada set pertama untuk meraih kemenangan 21-13.

Bagaimanapun, segalanya berubah pada set kedua apabila Naraoka pula tampil dengan lebih kemas sehingga menyebabkan banyak ‘unforced error’ dilakukan oleh Zii Jia untuk perlawanan diheret ke set penentuan.

Meskipun Lee Zii Jia cuba bangkit mengejar selepas ketinggalan jauh pada awal set ketiga, Naraoka kental bertahan untuk mengesahkan kemenangan dengan keputusan 21-19.

Sementara itu, Ng Tze Yong pula tidak berdepan masalah besar untuk mencatatkan kemenangan ke atas pemain dari Ireland, Nguyen Nhat 21-4, 21-10 dalam masa 35 minit.

Kemenangan mudah yang dicatatkan itu bermakna Tze Yong akan menempah pertemuan menentang Naraoka.

Manakala, perjuangan dua pasangan beregu lelaki negara iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun terhenti di pusingan pertama apabila mereka tewas kepada lawan dari China dan Indonesia.

Berakhirnya pusingan pertama pada hari ini menyaksikan sembilan wakil negara akan meneruskan perjuangan di pusingan 16, esok.