Hanya dua daripada sembilan wakil negara meneruskan perjuangan ke peringkat suku akhir kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2023 yang sedang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Sektor beregu menjadi penyelamat maruah negara selaku tuan rumah kejohanan Super 1000 itu apabila Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya melepasi cabaran masing-masing di pusingan 16.

Yew Sin-Ee Yi yang merupakan pemain bebas (Independent) terlebih dahulu mengesahkan tempat ke suku akhir hasil kemenangan 17-21, 21-13, 21-14 ke atas Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Chinese Taipei.

Kredit Foto: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

Kemenangan itu juga bermakna mereka telah menyamai pencapaian edisi lalu dan turut akan berdepan lawan yang sama iaitu gandingan nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Mengikut jejak langkah mereka ialah pasangan beregu campuran kian meningkat naik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas berjaya menewaskan pasangan Indonesia, Rehan Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dengan ‘straight set’ 21-19, 21-16.

Menanti di suku akhir ialah pasangan pilihan kedua, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand.

Sementara itu, tujuh lagi wakil negara yang gagal meneruskan perjuangan ke suku akhir Terbuka Malaysia 2023 ialah Ng Tze Yong, Liew Daren (tarik diri akibat kecederaan), Goh Jin Wei, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing (beregu wanita), Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.