Pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula dengan baik dalam kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2023 selepas melangkah ke pusingan kedua pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Gandingan sensasi ranking ketiga dunia itu berjaya menundukkan lawan dari Chinese Taipei, Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan 16-21, 21-15, 21-16 dalam aksi yang berlangsung selama 56 minit.

Kemenangan diraih itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila Aaron-Wooi Yik diberikan tentangan sengit dengan aksi saling kejar-mengejar mata pada set pertama yang akhirnya dimenangi pasangan lawan tersebut.

Berbekalkan sokongan padu diberikan para penyokong, Aaron-Wooi Yik bangkit dengan penuh bersemangat untuk mempamerkan aksi lebih agresif pada set kedua untuk mengheret aksi ke set penentuan hasil kemenangan 21-15.

Memasuki set ketiga, pasangan negara tidak memandang ke belakang lagi ketika mendahului 11-8 untuk pantas memisahkan kedudukan bagi mengesahkan kemenangan 21-16.

Kejayaan ini melebarkan lagi rekod kemenangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ke atas Lee-Yang kepada 2-0 selepas kali pertama menundukkan lawan tersebut di Terbuka Thailand 2022.

Menanti juara Kejohanan Dunia itu di pusingan kedua esok ialah pasangan dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi yang berada di ranking keenam dunia.

Sementara itu empat lagi wakil negara, Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Go Pei Kee-Teoh Mei Xing (beregu wanita), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong turut melangkah ke pusingan kedua.