Beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah menyelamatkan maruah kem badminton negara di kejohanan Terbuka Jerman 2023 yang berlangsung di Mulheim apabila berjaya melangkah ke separuh akhir.

Pasangan utama negara itu mempamerkan aksi terpuji untuk menundukkan juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagara dalam aksi yang berlanjutan hingga ke set penentuan dengan kemenangan 21-17, 18-21, 21-11.

Malah, pasangan daripada Jepun itu juga merupakan lawan sama yang ditumpaskan oleh Pearly dan Thinaah ketika mereka menjuarai kejohanan bertaraf Super 750, Terbuka Perancis pada Oktober tahun lalu sekali gus menjadikan rekod kemenangan memihak gandingan negara dengan 2 -0.

Set pertama menyaksikan kedua-dua gandingan saling kejar-mengejar mata sehingga mereka terikat pada kedudukan 15-15.

Selepas itu tiga kesilapan mudah dilakukan Matsumoto secara berturut-turut telah memberikan ruang buat pasangan ranking keenam dunia itu untuk menjarakkan mata lalu menang set pertama dengan 21-17.

Skrip yang hampir sama dapat disaksikan pada set kedua tetapi kali ini giliran Matsumoto-Nagahara pula lebih tenang menyerap tekanan untuk mengheret perlawanan ke set ketiga dengan kemenangan 21-18.

Tidak mahu melihat perjuangan skuad negara berakhir di peringkat suku akhir, Pearly dan Thinaah tampil dengan cukup garang pada set ketiga dengan meninggalkan jauh lawan tersebut.

Ia dapat disaksikan apabila pasangan negara jauh meninggalkan lawan mereka dengan kedudukan 11-2 pada ‘interval’. Momentum itu diteruskan sehingga Pearly dan Thinaah mengesahkan kemenangan dengan keputusan 21-11.

Menanti mereka di separuh akhir pada malam ini ialah satu lagi gandingan Jepun yang merupakan pasangan nombor dua dunia, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Ia juga merupakan lawan yang sukar buat Pearly-Thinaah dimana mereka hanya menang sekali daripada lapan aksi bertemu lawan tersebut sejak tahun 2020.