Dua wakil negara melangkah separuh akhir kejohanan badminton Terbuka India 2023 yang berlangsung di Indira Gandhi Arena, New Delhi menerusi gandingan Pearly Tan-M. Thinaah dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Pearly-Thinaah yang tewas pada pusingan pertama Terbuka Malaysia tempoh hari dilihat tidak terlalu berdepan masalah untuk menewaskan pasangan dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dengan kemenangan ‘straight set’ 21-13, 21-13 dalam tempoh 44 minit.

Menanti pasangan ranking kelapan dunia itu ialah pemenang satu lagi aksi suku akhir yang menemukan adik beradik dari Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard dan Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Sementara itu, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pula dilihat bermain di bawah tekanan apabila beraksi menentang rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk mencatatkan kemenangan 21-17, 21-11.

Lawan mereka juga masih belum diketahui kerana perlu menantikan pertemuan melibatkan pasangan nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang akan bertemu pasangan dari Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel.

Melihatkan kepada dua wakil negara beraksi di pentas separuh akhir, ia menunjukkan sedikit peningkatan berbanding kempen Terbuka Malaysia dimana hanya dua wakil layak ke suku akhir dan tumpas berdepan lawan masing-masing.

Berdasarkan rekod, kali terakhir wakil Malaysia menjuarai saingan Terbuka India adalah pada tahun 2014 menerusi perseorang lelaki, Datuk Lee Chong Wei selepas beliau menundukkan Du Pengyu dari China dalam aksi berlanjutan ke ‘rubber set’.