Satu slot ke separuh akhir kejohanan Terbuka India 2023 sudah pasti menjadi milik Malaysia apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan membuat perhitungan dengan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di suku akhir, esok.

Perkembangan terkini itu pastinya sedikit mengubati kekecewaan kem Malaysia dimana tiada wakil negara berjaya melayakkan diri ke pentas empat terbaik di Terbuka Malaysia 2023, minggu lalu.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlebih dahulu mengesahkan tempat ke suku akhir apabila menundukkan, Lee Jhe-Hui-Yang Po-Hsuan dengan kemenangan ‘rubber set’ 15-21, 21-19, 21-19 dalam tempoh 56 minit.

Ia turut melebarkan lagi rekod kemenangan buat Aaron-Wooi Yik ke atas lawan tersebut selepas mereka berjaya menundukkan wakil dari Chinese Taipei itu pada saingan minggu lalu dan ketika Terbuka Thailand 2022.

Sementara itu, pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga tidak mendapat laluan selesa selepas diheret ke perlawanan penentuan ‘rubber set’ sebelum menewaskan pasangan dari Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren 21-16, 13-21, 21-19.

Meskipun bertemu sesama sendiri esok, menarik untuk disaksikan pertemuan kerana aksi sentiasa sengit setiap kali Aaron-Wooi Yik bertemu Yew Sin-Ee Yi.

Selepas mengharungi lima perlawanan, beregu nombor satu negara itu menang tiga perlawanan tetapi aksi terakhir melibatkan kedua-dua pasangan di kejohanan Terbuka Indonesia 2021 dimenangi Yew Sin-Ee Yi.

Sementara itu masih terdapat dua lagi wakil negara di Terbuka India iaitu Lee Zii Jia dan gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang akan beraksi selepas ini.