Bekas jurulatih skuad badminton remaja negara, Muhammad Hafiz Hashim bakal menggalas tanggungjawab baharu apabila beliau kini berkelana ke India untuk membimbing Akademi Badminton Suchitra yang berpangkalan di Hyderabad.

Perkembangan terkini itu disahkan menerusi sumber laporan dikeluarkan media tempatan dengan medium bahasa Inggeris, The Star.

Hafiz yang pernah menjulang trofi All England 2003 akan bertanggungjawab dalam membimbing perseorangan lelaki dan wanita di akademi tersebut dengan kontrak selama dua tahun.

Difahamkan, perseorang wanita utama India, P.V Sindhu yang merupakan produk Akademi Badminton Suchitra itu turut akan menjalani latihan di sana selama satu atau dua hari seminggu.

Susulan dengan itu, Hafiz akan turut berkongsikan pengalaman serta secara tidak langsung akan membantu pemain ranking kesembilan dunia itu.

Malah, Pradeep Raju [Pengarah Akademi Badminton Suchitra] turut mahukan Hafiz Hashim untuk membantu Sindhu dalam menghadapi All England pada 14 hingga 19 Mac nanti.

Mengulas mengenai pemergiannya ke India, Hafiz Hashim yang akan memulakan tugasannya esok mengakui ia merupakan cabaran baik buatnya untuk menyesuaikan diri serta dapat mempelajari sesuatu dalam mengendalikan pemain dari negara berbeza.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini kelihatan beberapa jurulatih tempatan memilih untuk menerima tawaran di luar negara seperti Chin Eei Hui yang ke New Zealand, Vountus Indra Mawan menyertai skuad kebangsaan Australia serta Goh Giap Chin bersama Wilayah Guangxi.

Sumber