Tentera Israel bertindak kejam memecah masuk ke Stadium Antarabangsa Faisal Al Husseini malam tadi dan melepaskan gas pemedih mata sehingga menganggu kelancaran perlawanan akhir Piala Abu Ammar (Piala Palestin FA) melibatkan dua pasukan utama Liga Perdana Tebing Barat, Jabal Al Mukkabber dan Balata FC.

Stadium antarabangsa Faisal Al Husseini adalah rumah kepada FA Palestin. Piala Abu Ammar dinamakan sempena bekas presiden Palestin Yasser Arafat yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Presiden Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin (PNA) dari 1994 hingga 2004.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, ratusan penyokong yang hadir terpaksa lari menyelamatkan diri untuk mengelakkan daripada terhidu gas pemedih mata dilepaskan oleh tentera Israel yang menceroboh masuk dengan kenderaan perisai.

Perlawanan terpaksa dihentikan kerana terdapat ramai mangsa yang cedera termasuk wanita dan kanak-kanak.

Situasi tersebut sekaligus mengundang kemarahan peminat bola sepak dunia dan mereka turut menuntut agar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman berat terhadap Persatuan Bola Sepak Israel.

Hal ini kerana menurut peraturan FIFA, penggunaan gas pemedih mata adalah dilarang dalam mana-mana perlawanan Liga Domestik atau peringkat antarabangsa.

Ada juga peminat dari Indonesia menuntut FIFA menimbangkan semula penyertaan Israel dalam Piala Dunia bawah 20 tahun (B-20). Awal minggu ini FIFA telah mengumumkan Indonesia telah kehilangan hak sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20.

Ianya berlaku selepas Gabenor Bali dan beberapa badan bukan kerajaan di Indonesia (NGO) membantah kehadiran skuad kebangsaan Israel dalam saingan Piala Dunia B-20 yang bermula pada 20 Mei hingga 11 Jun ini.

Lebih merumitkan, Iraq juga tidak mahu diundi satu kumpulan bersama Israel sebagai tanda solidariti untuk Palestin.