Isu Mohamadou Sumareh nampaknya masih menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan di media sosial sehingga kini.

Terbaharu, beliau yang kini menyertai kelab Liga Thailand, Police Tero FC bakal berdepan tindakan undang-undang daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Perkembangan itu disahkan oleh pengurus pasukan, Datuk Mohammad Suffian Awang melalui kenyataannya dalam Berita Harian hari ini.

“Apa yang boleh saya katakan Sumareh bakal berdepan tindakan undang-undang kerana dia masih lagi mempunyai kontrak bersama Pahang.

“Tindakan Sumareh sudah melanggar syarat kontrak dan Pahang mempunyai tempoh 10 hari untuk memprotes perpindahannya ke Police Tero FC membabitkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC),” katanya.

sumareh

Sumareh yang masih mempunyai kontrak dengan Pahang sehingga tahun 2022 mengambil tindakan keluar daripada skuad tok gajah kerana dikatakan tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sehingga klausa 8.7 diaktifkan.

Bagaimanapun, Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menafikan pemain naturalisasi itu tidak dibayar gaji kerana semua urusan pembayaran sudah diselesaikan berdasarkan perjanjian yang dipersetujui bersama pada 26 Ogos 2020.

Menurut kenyataanya dalam FreeMalaysiaToday, walaupun terdapat sedikit kelewatan disebabkan oleh penularan wabak COVID-19, semua pemain tetap dibayar gaji setiap bulan termasuk Sumareh.

“Saya sangat kecewa dengan Sumareh. Kami telah banyak membantunya termasuk mendapatkan status warganegara Malaysia.

“Ini jelas menunjukkan dia tidak bersyukur dan cara dia menangani situasi ini tidak menggambarkannya sebagai seorang pemain profesional,” kata Tengku Abdul Rahman kepada FMT. 

“Kalau dia ada masalah atau mahu pergi ke pasukan lain, dia sepatutnya bercakap dengan saya dahulu dan pergi secara baik. Tetapi dia pilih untuk ponteng sesi latihan dan membuat keputusan sendiri,” katanya.

sumareh
FOTO: NSTP

Tengku Abdul Rahman turut mengesahkan PBNP akan heret kes Sumareh ke Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

“Saya tidak mahu khidmat dia lagi selepas apa yang telah dilakukannya dan kami akan melakukan segala-galanya untuk mendedahkan kelakuan tidak profesionalnya kepada pihak berkenaan.

“Kami akan menulis surat rasmi kepada FAM dan kemudian dipanjangkan ke AFC serta FIFA. Biar mereka mengambil tindakan lanjut,” tegas Tengku Muda Pahang.

Difahamkan selain Police Tero FC, Muangthong United turut menyatakan minat mereka untuk mendapatkan khidmat pemain naturalisasi pertama Malaysia itu.

Berdasarkan laporan daripada FreeMalaysiaToday, ejen yang menguruskan perpindahan Sumareh ke Muangthong telah menghubungi PBNP untuk mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dan telah menawarkan yuran perpindahan sebanyak US$1 juta (RM4 juta).

Namun, ia tidak menjadi kenyataan. Yang menjadi persoalan ialah mengapa masih terdapat tawaran yuran perpindahan, jika Sumareh sendiri telah tamatkan kontrak dengan Pahang dengan menggunakan klausa 8.7?

Semalam, Police Tero FC mengumumkan secara rasmi menerusi lama Facebook mereka, Sumareh sah menyertai kelab itu dan akan menyarung jersi nombor 13.

Baca artikel lain mengenai isu Sumareh melalui pautan dibawah.

Video Ini Isyarat Jelas Mohamadou Sumareh Ke Police Tero FC ‘Done Deal’?

PBNP Anggap Mohamadou Sumareh Tidak Mengenang Budi

Adakah Ini Klausa 8.7 Yang Menyebabkan Kontrak Sumareh Bersama Pahang FA Terbatal?