Pemain dari Brazil, William Ribeiro berdepan tuduhan cubaan membunuh selepas beliau menendang kepala pengadil sehingga pengsan dalam satu perlawanan liga Campeonato Gaúcho Série A2.

Ribeiro yang beraksi untuk pasukan Sao Paolo menendang kepala pengadil, Rodrigo Crivellaro dalam aksi menentang Guarani pada separuh masa kedua selepas pemain itu tidak berpuas hati ekoran Crivellaro memberikan sepakan percuma kepada Guarani.

Dalam kejadian tersebut, Ribeiro menolak Crivellaro sehingga terjatuh dan kemudiannya menendang kepala pengadil itu sehingga pengsan.

Crivellaro kemudiannya dikejarkan ke hospital São Sebastião Mártir dimana beliau bermalam kerana perlu penjagaan rapi dan hanya dibenarkan pulang pada keesokan harinya iaitu 5 Oktober lalu.

Ketua polis Venâncio Aires, Vinicius Lourenço de Assunção memberitahu akhbar tempatan dimana mereka akan mengenakan tuduhan percubaan untuk membunuh ke atas William Ribeiro.

Tiada ikat jamin dibenarkan kerana William dilihat mempunyai niat untuk mencederakan Crivellaro. Lourenço de Assunção menambah kini terpulang kepada pihak mahkamah sama ada mahu membebaskan William atau meneruskan tuduhan yang telah dikenakan.

Presiden kelab Sao Paolo, Deivid Goulart Pereira mengumumkan selepas perlawanan bahawa pihaknya telah memecat William dan melabel tindakan pemain itu sebagai memalukan dan tidak boleh diterima.

“Kejadian yang berlaku bukan sahaja mengejutkan peminat kita malah semua pihak yang meminati sukan secara keseluruhan. Kontrak dengan pemain yang agresif ini sudahpun ditamatkan dan tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak dunia di sini:

Ambrosini: AC Milan Sudah Bersedia Untuk Menjuarai Serie A 2021/22

PSG Selar Sikap Real Madrid Suka Kacau Pemain Kelab Lain

Luqman Hakim Akan Diberikan Lebih Banyak Minit Permainan Bersama Harimau Malaya