Erik Ten Hag salahkan pengadil sebagai mempengaruhi haluan perlawanan antara Manchester United dan juga Southampton.

Komen itu dibuat selepas Red Devils diikat seri tanpa jaringan dan bermain hampir sejam dengan 10 pemain. Ini kerana Casemiro dilayangkan kad merah pada minit ke-34.

Awalnya pengadil Anthony Taylor hanya melayangkan kad kuning. Namun memutuskan untuk merujuk semula keputusan itu menerusi skrin VAR.

Taylor membatalkan kad kuning dan memberikan kad merah terus kepada Casemiro.

Pemain antarabangsa Brazil itu kelihatan hampir menangis ketika menerima kad merah tersebut. Dia ditenangkan oleh rakan sepasukannya Antony.

Selepas tamat perlawanan, pengurus Man United telah mengambil risiko dengan mempersoalkan mutu pengadilan. Ten Hag dengan beraninya salahkan pengadil secara terbuka.

Ianya merupakan satu kesalahan untuk mempertikaikan pengadil di England.

Selain daripada mempertikaikan kad merah Casemiro, Ten Hag turut mempersoalkan kenapa mereka tidak diberikan sekurang kurangnya 2 sepakan penalti ketika Armel Bella-Kotchap menampan bola dengan tangannya.

Seterusnya, Kyle Walker-Peters juga dianggap telah menjatuhkan Bruno Fernandes di dalam kotak penalti.

Ten Hag memuji karakter yang ditunjukkan oleh para pemain. Kerana kekuatan fizikal dan mental mereka telah membantu untuk meraih 1 mata yang sukar daripada perlawanan ini.

Ten Hag berkata: “Pujian yang tinggi untuk pasukan kami hari ini. Mereka menunjukkan karakter yang kuat untuk bermain 10 pemain dalam tempoh yang sangat lama. Mereka sangat kuat secara mental dan fizikal untuk meraih 1 mata.”

Pengurus asal Belanda itu kemudian merasakan bahawa pengadil di England telah menjadikan Casemiro sebagai sasaran mereka. Menganggap pemain itu bukan pemain yang kotor.

“Casemiro bermain lebih 500 perlawanan di Eropah dan tidak pernah menerima kad merah. Dan kini dia sudah memiliki 2 kad merah dalam EPL.”

“Kehilangan khidmat dia bukan isunya. Kami akan cuba menyelesaikannya. Perlawanan ini dipengaruhi oleh pengadil.”

Manchester United akan bertemu Real Betis dalam aksi kedua peringkat 16 akhir Liga Europa. Perlawanan itu, Casemiro pastinya akan terlibat. United sudah mendahului 4-1 secara agregat.

Kemudian aksi suku akhir Piala FA menentang Fulham pada 19 Mac akan datang.