BBC melaporkan bahawa kedudukan Harry Maguire sebagai kapten kian goyah. Ini selepas beberapa pemain mulai menyokong Cristiano Ronaldo sebagai kapten baharu mereka.

Sebelum ini Erik Ten Hag memang sudah memberitahu bahawa dia akan memilih kapten pasukannya. Dengan Harry Maguire masih di antara calon utama mengekalkan jawatan itu.

Maguire diberikan jawatan kapten selepas berpindah ke Old Trafford dengan rekod dunia untuk bek tengah pada 2019.

Pada musim penuh pertamanya sebagai kapten, Maguire menjadi pemain penting yang membantu United menamatkan saingan di tangga kedua.

Namun Maguire sentiasa diberikan kritikan oleh peminat dan legenda kelab yang menjadi pundit sebagai bukan pemimpin sejati.

Kehadiran Cristiano Ronaldo musim lalu membuatkan semakin ramai yang meminta agar Harry Maguire menyerahkan sendiri lilitan kapten itu kepada legenda kelab itu.

Ronaldo merupakan kapten pasukan kebangsan Portugal. Dan dianggap salah seorang kapten terbaik dalam sejarah bola sepak dari segi kepimpinan.

Isu kapten United sudah dibincangkan di peringkat kelab pada minggu pertama pemain melapor diri untuk pra musim.

Dan Ten Hag pening apabila mengetahui bahawa pemain pemain di kem United berbelah bagi tentang Maguire dan Ronaldo.

Gary Neville sebelum ini mengakui bahawa, pada musim 2019/20, Harry Maguire semakin berkembang sebagai pemimpin. Namun kehadiran Cristiano Ronaldo, yang dianggap pemimpin sebenar, telah membuatkan pemain itu berdepan krisis keyakinan diri untuk menjadi ketua pasukan.

Ini termasuk desakan ramai pihak agar Maguire meletak jawatan kapten atas alasan dia tak cukup bagus untuk menjadi ketua pasukan untuk pasukan yang ada Ronaldo. Kerana dia tidak cukup karisma seperti Sergio Ramos mahupun Chiellini.

Kehadiran Ralf Rangnick dianggap antara titik tolak kepada peralihan jawatan kapten. Namun itu tak berlaku.

Rangnick menyatakan bahawa, pengurus seharusnya menyerahkan pemilihan kapten kepada kelompok pemain khas untuk menentukan.

Dia berkata: “Saya sentiasa percaya bahawa kapten sesebuah pasukan itu haruis dipilih oleh pasukan. Dan itu yang kami seringkali praktikkan. Kami sentiasa ada lembaga khas melibatkan 4 atau 5 pemain yang digelar ‘Spielerrat ‘ [lembaga khas pemain] – yang dipilih dari kalangan pemain.”

“Pemain yang mendapat undian majoriti berhak menjadi kapten. Itulah caranya kapten dipilih. Saya tahu ramai pengurus yang menggunakan kaedah ini.”

“Saya mahu menubuhkan lembaga ini, namun akhirnya, saya cuma interim. Saya serahkan perkara ini kepada Erik [ten Hag].”