Manchester United segera melupakan kepedihan tewas dalam aksi Liga Europa 2022/23 untuk bangkit menumpaskan Brighton sekali gus mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Kemenangan 7-6 menerusi penentuan penentuan sepakan penalti itu turut mengesahkan aksi menarik The Red Devils menentang musuh tradisi, Manchester City yang dijadualkan berlangsung pada 3 Jun nanti.

Ketika skuad kendalian Erik ten Hag itu memburu kejuaraan kedua musim ini selepas menjulang Piala Carabao pada penghujung Februari lalu, The Cityzens pula berada dalam landasan terbaik untuk melakar kejuaraan ‘Treble’.

Selain Piala FA, anak-anak buah Pep Guardiola masih berada dalam persaingan untuk memburu trofi Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan jurang dengan pendahulu, Arsenal semakin hampir untuk dirapatkan.

Manakala, Manchester City turut akan beraksi dalam saingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bertemu dengan juara bertahan, Real Madrid.

Sehubungan dengan itu, ten Hag mahu anak buahnya melakukan segala-galanya untuk menggagalkan impian besar musuh setempat mereka itu dengan mencuri kejuaraan Piala FA.

“Saya memahami perasaan daripada penyokong Manchester United mengenai perkara ini [layak ke final],” ujar ten Hag menurut laporan Goal.

“Kami akan melakukan segalanya untuk menghadiahkannya kepada mereka. Kami akan memberi segalanya, maka ia adalah berkaitan segala-galanya.”

“Kami mempunyai bukti bahawa kami boleh bermain dengan baik [merujuk kepada kemenangan 2-1 ke atas Manchester City di Old Trafford]. Kemudiannya kami perlu beraksi dengan permainan sempurna.”

“Kuncinya? Saya tidak memberitahu anda. Saya akan menyimpannya sendiri. Kami akan pergi sekali lagi ke perlawanan akhir.”

“Pertamanya kami perlu untuk memberikan tumpuan kepada perlawanan berbeza, kami perlu berada di kedudukan empat pasukan teratas [Liga Perdana Inggeris],” tambah ten Hag lagi.

Sementara itu, Manchester City tidak berdepan masalah untuk melangkah ke final selepas menundukkan Sheffield United 3-0 hasil jaringan hatrik diledakkan pemain sayap lincah, Riyad Mahrez.

Kali terakhir Manchester City beraksi di pentas final ialah pada musim 2018/19 dimana mereka turut muncul juara dengan kemenangan 6-0 ke atas Watford manakala Manchester United pula melakukannya ketika musim 2015/16 hasil kejayaan menundukkan Crystal Palace 2-1.

 

 

Sumber