Pengurus Manchester United, Erik ten Hag mencabar pemain pertahanan, Harry Maguire supaya beraksi seperti ketika menyarung jersi England sekiranya mahu kembali membarisi kesebelasan utama skuad The Red Devils.

Maguire yang sentiasa dikritik peminat Manchester United ekoran aksi longlai ditampilkannya bagaimanapun dilihat lebih cemerlang ketika mengemudi jentera pertahanan England.

Ia tidak terkecuali dalam kempen Piala Dunia 2022 walaupun England tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas 1-2 kepada juara bertahan, Perancis tempoh hari.

Sehubungan dengan itu, ten Hag berharap agar Maguire dapat kembali ke pangkuan pasukan dengan keyakinan lebih jitu seperti dapat dilihat pada lima aksi di Qatar.

“Saya hanya boleh menyokongnya. Saya telah ditanya berkali-kali sama ada dia cukup bagus [untuk bermain bersama Manchester United] dan ternyata dia jelas cukup bagus untuk bermain di peringkat tertinggi.”

“Dan ini juga masanya untuk dia membuktikan kepada semua keyakinannya di atas padang dimana dia tidak menunjukkan semua itu dalam semua perlawanan bersama Manchester United,” ujar ten Hag menurut laporan FotMob.

“Apabila dia bermain dengan yakin seperti pada ketika ini, dia adalah pemain yang sangat penting untu kami dan itulah yang semua orang jangkakan. Itulah juga yang diharapkan oleh Harry terhadap dirinya sendiri.”

“Dia mempunyai tahap [kualiti] yang tinggi itu. Dia mahu untuk bermain di peringkat tertinggi, mahu mengetuai barisan pertahanan, jadi semuanya terpulang kepadanya. Saya pasti dia mempunyai potensi untuk bermain dalam gaya kami dan sesuai dengan sistem kami.”

“Dia mempunyai permainan untuk England yang mana hampir sepanjang masa perlawanan yang baik. Dia mempunyai tempoh di Manchester di mana dia beraksi dengan teruk dan kemudian, sudah tentu ada kesukaran.”

“Tetapi apabila dia yakin dengan dirinya sendiri, dia akan beraksi dengan cukup baik ketika di atas padang. Apabila dia bekerja keras, anda akan mendapat keyakinan itu dan anda melihatnya dengan cara dia bermain untuk England.”

“Kamu mahu dia membawa semua itu kembali ke Manchester bersamanya supaya dia boleh melakukannya di atas padang untuk Manchester United.”

“Saya mengharapkan daripadanya, pasukan tahu apa yang mereka harapkan daripadanya. Jika dia berbuat demikian, dia akan menjadi pemain yang hebat buat kami,” tambah ten Hag lagi.

 

Sumber