Erik Ten Hag memberikan komen jujur beliau tentang Newcastle United menjelang aksi final Piala Carabao 2022/23. Manchester United akan menentang Newcastle United dalam perlawanan akhir Piala Carabao pada hari Ahad.

Newcastle akan beraksi tanpa dua penjaga gol mereka – Nick Pope dan Martin Dubravka.

Pope digantung perlawanan selepas menerima kad merah dalam kekalahan Newcastle Liga Perdana Inggeris kepada Liverpool hujung minggu lalu, manakala Dubravka terikat dalam peraturan cuptited, selepas mewakili The Red Devils dalam pertandingan itu semasa tempoh pinjamannya di Old Trafford awal musim ini.

Ten Hag mengakui ia jauh daripada situasi yang ideal untuk Newcastle, dan berkata: “Ia adalah isu bagi mereka [Newcastle] yang perlu mereka selesaikan. Dan sudah tentu kami tahu.”

“Ia pastinya bukan satu kelebihan [untuk mereka].”

Erik Ten Hag menyatakan dia lebih berminat untuk mencari perancangan yang tepat untuk mengatasi apa yang pasti akan menjadi ujian berat di Wembley.

“Ahad adalah satu cabaran sekali lagi tetapi sama sekali berbeza [dengan Barcelona], dan ia juga hebat untuk bermain menentang mereka,” katanya kepada pemberita dalam sidang media pra-perlawanan Jumaat.

“Saya fikir ia adalah pasukan yang hebat, dengan falsafah yang jelas tentang cara mereka mahu bermain permainan.”

“Kata kuncinya ialah intensiti, mereka bermain dengan baik. Mereka adalah pasukan yang menjengkelkan untuk ditentang, jadi kami perlu mencari jalan untuk menang [menentang] mereka.”

“Kami mahu mencari rancangan yang baik dan strategi untuk menewaskan lawan kami.”

Ten Hag kemudian berharap pengadil akan melakukan tugasan mereka dengan baik dalam memastikan masa bermain dapat dimaksimumkan kerana Newcastle merupakan pasukan kedua paling sedikit masa bermain efektif.

“Jika anda lihat, FA, pengadil, mereka mahu bermain pada masa yang berkesan. Jadi mereka [Newcastle] mempunyai yang terendah dalam liga.”

“Mereka agak berjaya dengannya, jadi terpulang kepada kita untuk mendapatkan kepantasan dalam permainan.”

“Kami perlu memberi tumpuan kepada bermain bola sepak dengan cara kami sendiri apabila bola berada dalam permainan, ia tentang itu.”

“Jadi kekalkan tumpuan sepenuhnya pada itu dan jangan terganggu – kita perlu fokus pada kerja.”