Erik ten Hag mengakui skuad Manchester United yang diwarisinya ketika tiba di kelab itu kurang disiplin dan memerlukan beberapa peraturan tegas untuk dikuartkuasakan.

Skuad itu dianggap kurang semangat selepas kempen buruk 2021/22, yang menyaksikan berakhirnya era Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus dan tempoh yang sukar pada era Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara.

Ten Hag secara rasmi mengambil alih pada penghujung Mei tetapi dia telah pun menganalisis perlawanan dan pemain berada di bawah kendaliannya sebelum mengambil alih dan dia telah menyedari ketiadaan disiplin dalam perlawanan yang dia tonton.

Pengurus asal Belanda itu kerap mengkritik pemain jika mereka tidak mematuhi peraturannya dalam perlawanan musim ini, manakala ada juga yang melanggar rejim disiplinnya yang ketat di luar padang.

Alejandro Garnacho tidak beraksi dalam jelajah pramusim selepas dua kali terlambat menghadiri perjumpaan pasukan.

Sementara Cristiano Ronaldo digugurkan daripada skuad hari perlawanan selepas enggan masuk sebagai pemain gantian dan Marcus Rashford diturunkan ke bangku simpanan apabila dia lewat ke taklimat pasukan.

Ten Hag akui ada beberapa pemai tidak selesa dengan ketegasannya. Namun dia tidak mempunyai banyak pilihan pada masa itu. Misi pertamanya untuk memperbetulkan perkara yang dia sifatkan sebagai bercelaru di kelab itu.

“Terdapat (kekurangan disiplin) dan saya tidak perlu berbohong mengenainya,” katanya.

“Pemain berkelas dunia, mereka menyukai struktur, bukan sahaja di atas padang, jadi anda memerlukan beberapa peraturan untuk diperketatkan.”

Ten Hag kemudia memberitahu wartawan, dalam tugasan mereka pun, disiplin organisasi perlu ada untuk menjadikan operasi berjalan lancar.

Pengurus itu menambah: “Saya rasa sudah jelas dalam setiap organisasi apabila tiada peraturan dan disiplin dalam mengambil serius peraturan itu, maka anda akan menimbulkan kecelaruan.”

“Itu bukan sahaja di kelab bola sepak, tetapi juga dalam penyiaran atau akhbar. Ia agak jelas kerana saya dapat melihat di atas padang apa yang sedang berlaku.”

Ten Hag akan membawa anak anak buahnya berdepan Liverpool di Anfield. Perlawanan yang dianggap Derbi Barat Laut England itu adalah perlawanan terbesar dalam kalendar bola sepak Inggeris.