Beberapa rakan kongsi Liga Malaysia menyifatkan tempoh masa diberikan Malaysian Football League (MFL) dalam pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) sehingga tahun 2021 sebagai langkah wajar untuk memberikan peluang memahami konsep ECP dengan lebih mendalam.

Itulah yang diakui salah satu rakan kongsi iaitu Felda United Football Club menerusi Setiausaha Agungnya Afizal Abu Othman dimana beliau berpendapat pengendali Liga Malaysia itu tidak terburu-buru dalam pelaksanaan ECP.

“Bagi saya tempoh satu tahun diberikan MFL adalah mencukupi, cuma saya berharap semua pasukan akan betul-betul mengambil berat dan kita harapkan masa diberikan ini dimanfaat sepenuhnya dan jangan ada budaya kerja ‘last minute’. Proses gerak kerja kena dimulakan daripada sekarang dan difahamkan akan ada satu seminar serta taklimat berkaitan ECP ini pada pertengahan November ini.

Afizal Abu Othman
Afizal Abu Othman. Sumber Gambar: Stadium Astro

“Kita harap apa yang MFL buat ini bukan sahaja membantu Felda tetapi bola sepak secara keseluruhan terutama di Liga Malaysia dan ECP ini dapat berjalan dengan baik jika semua pasukan berikan kerjasama, ” katanya.

MFL melalui Mesyuarat Lembaga Pengarah yang dipengerusikan Datuk Haji Hamidin Haji Mohd. Amin baru-baru ini mencapai kata sepakat memperkenalkan ECP secara berperingkat bermula musim depan sebelum secara menyeluruh serta lebih ketat pada 2021.

Satu penerangan lebih menyeluruh kepada semua pasukan akan dibuat menerusi satu seminar pada satu tarikh pada pertengahan November ini yang akan dikendalikan wakil perunding ECP, PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn. Bhd, La Liga dan MFL.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa jelas positif dengan tindakan dibuat MFL berhubung tempoh masa pelaksanaan ECP selain mengharapkan satu penerangan terperinci buat semua pasukan.

Nokman Mustaffa
Sumber Gambar: Stadium Astro

“Kita sememangnya menyokong penuh hasrat MFL ini cuma kita mahukan penerangan lebih terperinci dan saya harap seminar yang akan dibuat pada bulan depan mampu menjelaskan pandangan kita semua. Tempoh masa bagi saya agak sesuai dan jika dibuat awal pun, saya rasa tiada masalah akan bantu tiap persatuan memahami lebih cepat dan jika pada 2021 pun, saya memang setuju.

“Soal pengurusan kewangan ini sememangnya perlu dititikberat oleh semua pasukan agar mereka mampu belanja berhemah selain sistem ECP ini, ia akan membantu pasukan belajar menyimpan kewangan serta boleh digunakan dalam masa diperlukan, “ katanya.

Baca artikel lain mengenai ECP di sini:

ECP Akan Diperkenalkan Secara Berperingkat Musim Hadapan

PAFA Mahu Manfaatkan Program Kawalan Ekonomi Sepenuhnya