Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan kedua dalam kempen Liga Super 2021 selepas menundukkan Penang FC 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Kemenangan yang diraih skuad bimbingan Benjamin Mora itu bagaimanapun tidak semudah disangka apabila dua jaringan skuad Harimau Selatan tersebut menjelma pada lewat permainan.

Penang yang dibimbing Thomas Trucha dilihat menjalankan tugas dengan baik dalam mengganggu rentak barisan pemain JDT pada 45 minit awal.

Hanya percubaan di awal permainan daripada Penang dan rembatan padu dari luar kawasan penalti oleh Afiq Fazail yang ditepis Sam Somerville pada minit ke-19 menjadi topik utama babak pertama.

Memasuki babak kedua, aksi lebih menarik ditampilkan terutamanya buat skuad tuan rumah yang menggandakan asakan ke kubu Penang.

Ia dibuktikan pada minit ke-47 apabila Corbin-Ong melakukan hantaran kemas kepada Fernando Rodriguez dalam kawasan penalti tetapi penyerang tersebut gagal menggunakan kesempatan terhidang apabila hanya menendang angin ketika beliau tidak dikawal pertahanan Penang.

Berselang lima minit kemudian, Penang pula terlepas peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan setelah Endrick Dos Santos melakukan percubaan meliar ketika beliau berhadapan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Jaringan yang dinantikan kem JDT menjelma pada minit ke-81 apabila Leandro Velasquez menyempurnakan sepakan penalti bagi meletakkan tuan rumah di hadapan.

Sepakan penalti tersebut dihadiahkan pengadil perlawanan, S. Logeswaran susulan kekasaran dilakukan Somerville terhadap Gonzalo Cabrera dalam kawasan penalti.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral para pemain JDT yang menambah jaringan kedua menerusi Rodriguez pada minit ke-85 setelah menerima hantaran daripada Safiq Rahim dalam kawasan penalti.

Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk JDT menduduki tangga teratas dengan enam mata hasil dua kemenangan, berkongsi mata dengan Terengganu FC yang turut meraih kemenangan kedua, malam ini keatas Selangor.