Semalam lagenda bola sepak negara, Khalid Ali melalui laporan dalam Berita Harian meluahkan rasa tidak puas hati beliau mengenai penampilan beberapa jurulatih dan pegawai pasukan semasa perlawanan Liga Malaysia.

Katanya, pemakaian seluar jeans yang lusuh tidak sesuai dengan status liga profesional dan dianggap memberi imej yang kurang baik.

“Sebagai liga profesional, saya dukacita dengan penampilan beberapa jurulatih terutama ketika aksi Selangor dan Kedah sebelum ini. Sebagai jurulatih di padang, tidak berapa baik dari segi pakaian yang mana memakai jeans.

“Adakah FAM dan MFL membenarkan jurulatih memakai jeans? Pakai kemeja baju di luar, saya ada bercakap dengan kawan-kawan adakah ini liga profesional atau liga kampung?

“Saya rasa tak selera tengok jurulatih yang berseluar jeans. Pakai jeans pula yang lusuh, sepatutnya FAM dan MFL kena tengok benda ini,” katanya.

khalid ali
FOTO: FAM

Apa yang dikatakan oleh Khalid Ali ada benarnya tetapi beliau perlu mendapatkan gambaran yang betul mengenai apa yang dipakai oleh jurulatih tersebut.

Selain itu, garis panduan mengenai etika pemakaian para pegawai perlawanan dan juga jurulatih sudah ditulis dalam buku manual Liga Malaysia yang dikeluarkan oleh badan pengelola liga, Malaysian Football League (MFL).

Pegawai pasukan dilarang memakai seluar jeans lusuh. 

Berdasarkan peraturan pertandingan di dalam buku manual Liga Malaysia MFL, muka surat 23 Artikel 3 Peraturan Teknikal (3.17.6), ia jelas menyatakan pegawai kelab dan pemain di bangku simpanan dilarang sama sekali memakai selipar, baju tanpa lengan dan seluar jeans lusuh ketika hari perlawanan.

Bagaimanapun, ia juga perlu merujuk pada laporan komisioner perlawanan untuk mendapatkan gambaran sebenar terhadap apa yang dipakai oleh para jurulatih sama ada mereka memakai seluar jeans lusuh atau tidak.

Antara kriteria seluar jeans lusuh yang tidak dibenarkan ialah warna biru pada seluar itu telah luntur dan ada kesan koyakan di beberapa bahagian. Pemakaian sebegini memang tidak sesuai dan boleh menjatuhkan imej jurulatih itu sendiri.

Tiada masalah jika jurulatih tersebut memakai pakaian yang lebih sopan dan selagi tidak melanggar salah satu peraturan yang telah ditetapkan oleh MFL.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Skuad KDA FC Terima Suntikan Vaksin Dos Pertama

Terlalu Bangga Seri Bertemu JDT II, Adakah Ini ‘Sign of Insecurity’ Michael Feichtenbeiner Sebenarnya?

Pemerhati Bola Sepak Anggap Kelantan, Melaka Mampu Jadi Seperti JDT

Sharbinee Allawee Pernah Terfikir Hendak Bersara Selepas Keluar Dari Pahang