Semalam, J1 League kembali memulakan aksi selepas berehat panjang dengan 9 perlawanan berlangsung. Pendahulu J1 League, Sanfrecce Hiroshima bertemu dengan Gamba Osaka dalam misi untuk menjarakkan lagi kedudukan mereka dipuncak liga.

Penyerang utama Thailand, Teerasil Dangda berjaya menjaringkan gol ke 4 beliau dalam saingan liga divisyen tertinggi Jepun itu.

Sanfrecce Hiroshima berjaya membelasah Gamba Osaka 4 gol tanpa balas dengan Teerasil yang masuk menggantikan Masato Kudo pada minit ke 71 berjaya mencatat nama sebagai penjaring ke 4 pada minit ke 86 perlawanan.

Mengikut rekod rasmi J1 League, Teerasil Dangda telah membuat 14 penampilan liga bersama Sanfrecce Hiroshima musim ini, menjaringkan 4 gol dengan 691 minit masa bermain.

Sehingga perlawanan ke 16 semalam, Sanfrecce Hiroshima telah menjaringkan 26 gol musim ini dan Patrick muncul sebagai penjaring gol utama dengan catatan 12 gol.

Teerasil Dangda berada dikedudukan kedua senarai penjaring terbanyak Sanfrecce Hiroshima dibelakang Patrick dengan 4 gol setakat ini.

Jika Sanfrecce Hiroshima berjaya mengekalkan prestasi yang konsisten ini, mereka dilihat tidak berhadapan masalah untuk muncul sebagai juara J1 League 2018.

Jika perkara ini berlaku, ada kemungkinan Sanfrecce Hiroshima akan berada dalam kumpulan yang sama dengan Johor Darul Ta’zim dalam saingan peringkat kumpulan AFC Champions League 2019 nanti.