Presiden La Liga, Javier Tebas melabel Liga Perdana Inggeris atau EPL tidak stabil dari segi ekonomi dan kewangan pada jangka panjang berbanding dengan Liga Sepanyol dan Liga Jerman.

Tebas berkata demikian pada persidangan anjuran La Liga di Brussels. Tebas juga mengutuk EPL, menuduh liga itu sebagai punca pasaran perpindahan pemain mengalami inflasi harga.

Tebas berjanji akan mendesak EU untuk melakukan sesuatu agar Premier League tidak lagi merosakkan pasaran bola sepak eropah.

Kenyataan Tebas itu benar benar menimbulkan perdebatan ketika dia mengkritik kemampuan ekonomi EPL berbanding dengan La Liga. Ini kerana EPL merupakan liga yang paling tinggi nilai komersial.

Tebas: La Liga lagi bagus

Di Sepanyol, kelab seperti Barcelona bergelut secara kewangan ketika berdepan dengan pandemik yang lalu berbanding kelab kelab di EPL.

Pada musim panas 2022, Liga Perdana Inggeris melakukan perbelanjaan bersih lebih £1 billion buat pertama kalinya.

49% daripada transaksi jual beli pemain dari kalangan 5 liga utama Eropah adalah daripada EPL. Pecahan terbesar dicatatkan oleh sesuatu liga sejak 2008.

Namun menurut Tebas, EPL nampak stabil kerana mereka membenarkan pemilik kelab menyuntik dana sesuka hati bukannya daripada pendapatan komersial kelab.

Tebas berkata: “Saya risau tentang Premier League sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”

“Sekarang ini ianya menjadi pertandingan yang merugikan semua kelab. Di mana kesemua kelab mengalami kerugian. Ekonomi EPL adalah tidak mapan. Dan mereka bukan liga yang memiliki model ekonomi yang baik.”

“Mereka dibiayai oleh pemilik kelab, namun dengan wang yang banyak itu, mereka menjadi punca pasaran pemain bola sepak menjadi rosak.”

“Ok la, kalau mereka meraih keuntungan. Namun apabila mereka rugi, mereka menyuntik setengah billion euro setiap tahun. Apa maksud semuia itu? Itu bermakna ekonomi kamu tidak mapan.”

Berdasarkan laporan tahun kewangan 2022, hanya 3 kelab EPL yang mencatatkan keuntungan iaitu Wolves, Man City dan Leeds United.

Tebas mempersoalkan bagaiman kelab kelab lain beterusan dibenarkan berbelanja untuk membeli pemain.

Tebas berkata: “Menurut peraturan La Liga yang digubal sejak 2013, kelab kelab yang rugi ini tidak dibenarkan untuk mendaftarkan pemain baharu. Mereka wajib berbelanja berdasarkan jumlah pendapatan tahunan mereka.”

“Saya mahu peraturan yang sama diamalkan di Liga Perdana Inggeris.”

“Kamu perlu ada kewangan yang stabil pada jangka masa panjang.”

“Kami [La Liga] boleh bersaing dengan EPL tanpa sebarang masalah. Saya tak bimbang langsung tentangnya.”

“Saya cuma hairan dengan situasi di mana mereka membeli pemain baharu dalam keadaan mereka sedang mengalami kerugian. Kerana di Sepanyol, kami tidak akan membenarkan perkara seperti itu berlaku.”

“Hanya ada 2 liga yang stabil dari segi ekonomi iaitu La Liga dan Bundesliga.”

“Kita harus berjuang untuk mewujudkan kestabilan ekonomi. Dan peraturan yang sama harus diguna pakai oleh Liga Perdana Inggeris.

Netizen kecam Tebas

Seperti biasa, komen Tebas ini mengundang perdebatan. Ramai yang percaya bahawa La Liga menjadi pencetus kepada kerosakan pasaran pemain.

Bermula dari zaman Galaticos lagi, kelab seperti Real Madrid dan Barcelona seringkali membeli pemain dan menawarkan gaji sangat tinggi.

Malah Alex Ferguson dan Arsene Wenger pernah menuduh kelab seperti Barcelona dan Real Madrid sebagai pembuli kelab lain.

Real Madrid beberapa kali membeli pemain dengan rekod dunia. Seterusnya Barcelona membeli 3 pemain dengan nilai lebih €100 juta dalam beberapa musim berturut turut melibatkan transaksi Phil Coutinho, Ousmane Dembele dan Antoine Griezmann.

Atletico Madrid turut membeli Joao Felix yang masih remaja ketika itu dengan nilai mencecah €120 juta.

Seorang lagi mengingatkan Tebas bahawa, dia seharusnya menumpukan usaha untuk mencari hak penyiaran yang sanggup membayar satu pasukan lebih €100 juta setiap musim seperti EPL berbanding menghabiskan tenaganya mengutuk liga lain sepanjang masa.

Selain itu seorang lagi peminat meminta Tebas mengubah polisi bayaran hak penyiaran yang tidak sama rata di La Liga agar menjadi seperti EPL yang menerima bayaran sama rata.

Di Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona menerima bayaran penyiaran jauh lebih besar berbanding kelab lain.