Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) semalam telah menandatangani kontrak dengan Syarikat TDC Holdings Sdn Bhd sebagai penaja utama bagi musim 2022 dan 2023.

Syarikat tersebut bakal menggunakan jenama salah satu produk utama mereka iaitu COLEVER sebagai ‘branding image’ yang akan dibawa bersama Terengganu FC bermula musim ini. Logo Colever bakal digunakan dikesemua penempatan imej logo tajaan utama kelab ini termasuk pada jersi utama pasukan Terengganu FC.

Mereka juga bersetuju untuk menjadi penaja utama kelab ini dengan penawaran tajaan dalam bentuk kewangan sebanyak RM 4 juta bagi musim 2022 dan 2023 serta penajaan tambahan dalam bentuk barangan dengan nilaian sebanyak RM500,000 menjadikan nilai tajaan keseluruhan bagi tempoh 2 tahun mencecah RM 4.5 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Hafiz Hiew menyatakan beliau melihatkan kerjasama ini dapat memberikan kelebihan buat kedua-dua pihak dimana beliau melihatkan Terengganu FC sememangnya mempunyai nilai komersialnya sendiri serta pasukan utama kelab ini juga telah mempamerkan kualiti yang sangat baik dalam kancah saingan Liga Malaysia.

Beliau juga percaya Terengganu FC bakal membawa jenama Colever serta TDC Holdings ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak menolak jika kerjasama ini berjalan lancar, kerjasama ini akan berterusan pada tahun-tahun yang akan datang.

“Selain sokongan kewangan, hubungan strategik ini akan membuka peluang penerokaan produk yang boleh dipasarkan kedua-dua pihak.

“Oleh itu, kedua-dua pihak akan menerima manfaat dan kelebihan yang seimbang dan mungkin boleh diteruskan pada masa depan, bukan sekadar untuk dua musim,” katanya.

FOTO: TFC

TDC Holdings Sdn Bhd adalah salah satu daripada beberapa syarikat Pemasaran Pelbagai Peringkat (MLM) milik Muslim di Malaysia. Sejak penubuhannya pada tahun 2016, syarikat ini adalah salah satu syarikat MLM unik yang berjaya menggabungkan keindahan konsep MLM dan wholesales ke dalam pemasaran syarikat.

Kualiti produk kesihatan syarikat ini terbukti dengan perakuan GMP, HACCP, ISO dan HALAL JAKIM, dengan sistem pengiraan bonus harian unik mereka untuk 150,000 peniaga membuktikan bahawa TDC adalah salah satu syarikat eksklusif di Malaysia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

FAM Dapat RM10 Juta Daripada Kerajaan Untuk Pembangunan Bola Sepak

Fernando Forestieri Jadi ‘Peneman’ Bergson Da Silva Di Jentera Serangan JDT

Hyuri Henrique Calon Pemain Import Kelima Selangor

Abang Kandung Anthony Martial Sah Sarung Jersi Sri Pahang