Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya akan terus menguruskan pasukan kebangsaan walaupun mendapat tawaran daripada pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ).

TMJ sebelum ini menawarkan khidmatnya untuk membantu meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya dengan menyediakan fasiliti serta jurulatih yang terbaik.

Tawaran tersebut hadir ketika Malaysia mencatat dua kekalahan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang UAE dan Vietnam di Dubai pada bulan Jun lepas.

photo_2021-06-14_18-40-22

Bagaimanapun, isu tersebut sudah selesai selepas FAM mencapai kata sepakat dengan TMJ untuk mengekalkan badan induk tersebut sebagai pengurus pasukan kebangsaan.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan TMJ, iaitu mantan Presiden FAM berhubung isu baginda ingin mengambil alih pengurusan pasukan kebangsaan seperti yang dinyatakan sebelum ini.

“Dalam pertemuan tersebut, kami mencapai kata sepakat untuk mengekalkan FAM sebagai pengendali Harimau Malaya. Cukup untuk saya katakan, perkara ini sudah selesai. Bagaimanapun, saya faham perasaan baginda ketika itu selepas kita tewas kepada UAE dan Vietnam.

“Baginda juga akan terus berikan sokongan termasuk membekalkan pemain JDT kepada pasukan negara,” kata Datuk Hamidin dalam sidang akhbar secara maya.

tmj nike

Hamidin turut berkongsi pandangan TMJ mengenai pemilihan pemain dalam skuad kebangsaan. Jumlah minit permainan yang banyak serta prestasi semasa sangat penting dalam pembentukan pasukan yang lebih mantap.

“Tunku juga menekankan mengenai betapa penting pemilihan pemain termasuk perlu menilai minit permainan selain memantau prestasi setiap pemain dalam semua pasukan Liga Malaysia.

“Mungkin ada beberapa perubahan berhubung pemilihan pemain kebangsaan untuk pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 kerana saya seiring dengan idea-idea yang diberikan oleh Tunku,” jelasnya.

Malaysia gagal mencapai sasaran untuk layak ke Piala Asia 2023 secara automatik setelah dibelasah 0-4 oleh UAE dan tewas 1-2 kepada Vietnam walaupun mencatat kemenangan 1-0 ke atas Thailand.

Skuad Harimau Malaya akan menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijangka berlangsung pada tahun depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Aksi Jafri Firdaus Chew ‘Tunjal’ Kaki Rabih Ataya Terima Kecaman Hebat Peminat Bola Sepak Malaysia

Levy Madinda Dipanggil Sertai Skuad Kebangsaan Gabon Hadapi Kelayakan Piala Dunia

Wartawan Colombia Dedahkan Hanya JDT Yang Menghantar Tawaran Rasmi Untuk Falcao