Perkembangan tiga pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang berada di Jepun kini berada dalam pemerhatian Majlis Sukan Negara (MSN) berikutan Taufan Hagibis dilaporkan melanda negara tersebut pada hari ini.

Tiga pemain tersebut iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Sikh Izhan Nazrel dan Ahmad Zikri berangkat ke sana sejak Isnin lalu bagi mengikuti sesi latihan bersama kelab divisyen 1 Jepun (J.League), FC Tokyo selama seminggu.

Ia adalah sebahagian daripada kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) untuk membolehkan pemain muda Malaysia menimba ilmu bersama kelab-kelab JFA.

Turut berada bersama mereka di sana ialah Jurulatih AMD, Encik Efendi Abd Malek selaku pegawai pengiring bagi program kali ini.

Agensi Meteorologi Jepun meramalkan taufan itu melanda Jepun semalam dan disifatkan sebagai ribut paling kuat sejak tahun 1958. Sebahagian Jepun masih belum pulih daripada taufan yang melanda kira-kira sebulan lalu dan ribut terbaru bergerak ke utara dari Pasifik menuju ke pulau utama negara itu.

Taufan itu juga menyebabkan Perlumbaan Formula 1, Grand Prix Jepun di litar Suzuka pada hari ini terpaksa dibatalkan. Dua perlawanan Piala Dunia Ragbi juga terpaksa dibatalkan semalam akibat taufan berkenaan.

“Tidak kira taufan ini melanda daratan atau tidak, ia tetap membawa kesan yang besar.

“Penduduk perlu bersedia berdepan hujan lebat, angin kencang, ombak besar dan ribut,” kata agensi itu.

Lagi artikel mengenai perkembangan Luqman Hakim yang mungkin anda terlepas pandang.

Luqman Hakim Dan Dua Rakan Sepasukan Ke Jepun Sertai Sesi Latihan FC Tokyo

Luqman Hakim Sebaris Dengan Pemain FC Barcelona, Ansu Fati Dalam Senarai 60 Pemain Muda Paling Berbakat Dunia

KV Kortrijk, Kelab Divisyen Utama Liga Belgium Sambar Luqman Hakim Dengan Kontrak 5 Tahun