Walaupun kerajaan mengumumkan sukan bersentuhan fizikal seperti Liga Malaysia dibenarkan mulai 15 ogos ini namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) masih meneliti tarikh sebenar liga disambungkan semula.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjuran liga tersebut perlu diadakan tanpa kehadiran penonton dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Mesyuarat (Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP) juga telah bersetuju membenarkan penganjuran kejohanan yang tidak melibatkan penonton dan di dalam negara sahaja.

“Sukan bersentuhan fizikal seperti bola sepak, ragbi, hoki sepak takraw bola keranjang dan skuasy dibenarkan 15 Ogos. Contoh pertandingan seperti Liga super, Liga Premier, Sepak Takraw League (STL), Liga Hoki kita benarkan 15 ogos nanti,” katanya dalam sidang media.

sabri

Bagaimanapun, tarikh sambung semula Liga Malaysia bergantung pada tahap persiapan dan kesediaan pasukan untuk kembali beraksi kerana masih ada 4 pasukan yang tidak dibenarkan menjalani latihan kerana gagal melengkapkan dokumen yang ditetapkan oleh MFL.

Pasukan tersebut ialah PDRM FA, Kelantan, UKM FC dan Sarawak United.

“Kami amat lega atas kebenaran kerajaan. Kami perlu melihat semula bahagian-bahagian teknikal terutama keadaan padang, pemain dan pasukan.

“Ada pasukan yang meminta untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebelum mereka menghadapi liga,” Kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Abd Ghani Hassan seperti dipetik dalam Stadium Astro.

Penyambungan liga lebih awal juga dapat membantu persiapan skuad kebangsaan bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan oktober nanti.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

FAM Jumpa 3 Wakil Kelab Bantu Selesaikan Proses Pertukaran FA Ke FC

Bekas Penjaga Gol Selangor, Jamsari Sabian Mahu ‘Let Go’ Medal Juara Liga Premier, Piala FA, Dan Piala Malaysia 2005

Sumareh Terhutang Budi Kepada Inspektor Nasir, Dedahkan Dollah Salleh Bertanggungjawab Tukar Corak Permainannya