Baru-baru ini, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin mendedahkan pihaknya sudah mempunyai senarai pendek beberapa calon yang akan dibawa masuk untuk menggantikan tempat Lim Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang akan tamat kontrak pada bulan Oktober ini.

Kedudukan Lim Teong Kim dipertikaikan oleh pelbagai pihak setelah kegagalannya membawa skuad B-16 tahun negara yang dibarisi oleh pemain daripada program pembangunan bola sepak negara (NFDP) layak ke pusingan akhir Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) di Brazil, tahun ini.

Bagaimanapun, peminat bola sepak tempatan meluahkan rasa tidak puas hati mereka di laman sosial sambil meletakkan tanda pagar ‘SaveLTK’ untuk mendesak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan semula penyambungan kontrak Lim Teong Kim atas alasan demi masa depan bola sepak negara.

Hasil kaji selidik yang dijalankan di laman twitter Vocket FC, kami mendapati 70% daripada 1,465 orang berpendapat khidmat Lim Teong Kim wajar disambung untuk memastikan projek jangka masa yang panjang membuahkan hasil.

Malah, anak didik Lim Teong Kim dalam Akademi Mokhtar Dahari (AMD) seperti Luqman Hakim Shamsudin turut berkempen dalam laman instagram mendesak ‘sifu’ mereka dikekalkan kerana berpendapat Teong Kim telah berjaya mengubah mentaliti mereka dalam sukan bola sepak.

Hal ini turut diakui sendiri oleh pelatih AMD, Raja Muhammad Haikal yang menegaskan satu kerugian besar sekiranya Malaysia kehilangan khidmat Teong Kim kerana jurulatih itu sudah banyak mengajar mereka cara bermain bola sepak dengan betul.

“Saya harap dia dapat kekal di sini. Ramai yang mengatakan Teong Kim adalah jurulatih garang namun apa yang diajar olehnya adalah perkara betul dalam bola sepak.

“Malah, dia membawa budaya Eropah khususnya menerusi disiplin ketika berada di atas padang. Itulah yang kami praktikkan dan kami memang banyak belajar daripadanya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Lim-Teong-Kim
Kenangan Lim Teong Kim ketika melatih skuad NFDP di eropah.

Gaji terlalu tinggi punca kontrak Lim Teong Kim tidak disambung?

Berdasarkan laporan daripada The Star, difahamkan antara sebab utama kontrak Teong Kim tidak disambungkan ialah pakej gaji beliau berjumlah RM250,000 sebulan yang meliputi 16.6% daripada peruntukkan RM15 juta dalam bajet tahunan tidak mampu dipenuhi oleh pihak KBS.

Selain itu, Teong Kim juga gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan iaitu membawa skuad bawah 16 tahun negara layak ke Piala Dunia apabila pasukannya tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan dalam kejohanan AFC B-16 tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal NFDP, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya perlu berbincang dahulu dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kekosongan jawatan tersebut.

Beliau menambah NFDP mempunyai beberapa jawatankuasa yang terdiri daripada ahli-ahli daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) dan menjelaskan sebarang keputusan rasmi perlu mendapat persetujuan daripada mereka.

03_Subahan_Kamal_1522679729
FOTO: Bernama

“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai jawatan pengarah teknikal AMD kerana  jawatankuasa kami perlu mengikut arahan daripada menteri dan pada masa ini, kami tidak menerima apa-apa arahan daripada mereka.

“Kami (jawatankuasa teknikal NFDP) hanya memberi cadangan kami apabila ditanya oleh pihak kementerian. Peranan kami hanya untuk menyokong operasi harian NFDP. Pengarah teknikal AMD adalah jawatan besar, jadi pemilihan menyeluruh akan dibuat sebelum memutuskan calon yang layak, “kata Subahan.

Subahan turut menambah keutamaan mereka ketika ini ialah menjaga kebajikan para pelatih dalam AMD dan beliau mengucapkan terima kasih kepada FAM di atas sumbangan RM120,000 untuk membeli peralatan latihan.

“Kami di jawatankuasa mahu memberi yang terbaik berdasarkan bajet yang sedia ada. NFDP telah bermula pada tahun 2011 tetapi peralatan gym hanya lengkap pada tahun ini, apa yang telah berlaku sepanjang tahun itu?

“Saya fikir ramai orang dalam pengurusan ketika itu ‘tidur’ dan hanya mementingkan diri sendiri berbanding kebajikan jurulatih dan pemain,” katanya.

Menurut sumber terdekat, pada peringkat awal NFDP ditubuhkan, program itu dijanjikan peruntukan RM20 juta setiap tahun. Tetapi NFDP hanya menerima peruntukan RM10 juta sahaja pada tahun 2014, kemudian ia semakin berkurangan.

Lim Teong Kim bakal sertai Cardiff City?

Meskipun Lim Teong Kim mendedahkan akan pulang ke Munich, Jerman selepas kontraknya tamat, beliau juga menafikan akan menyertai mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia. Walaupun ada tawaran untuk menguruskan pasukan atau kelab di negara ini, ia tidak mungkin akan berlaku.

“Mereka kata gaji saya terlalu tinggi. If your pay peanut, you get monkeys. Dan saya bukan monyet. Saya akan pulang ke Munich selepas kontrak berakhir seperti yang saya beritahu kepada Syed Saddiq (Menteri Belia dan Sukan) ketika berjumpa dengannya tahun lepas.

“Walaupun hanya lima tahun saya bersama NFDP, anda semua boleh lihat apa yang dicapai.

“Sebelum ini FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) menerusi Datuk Seri Subahan Kamal ada beritahu setiap program pembangunan memerlukan masa 10 tahun untuk melihat hasilnya. Ketika itu dia juga cakap kita gagal dan habiskan banyak duit.

“Tetapi sebenarnya program ini baharu sahaja lima tahun dan kini kita berada di landasan yang betul,” katanya seperti dipetik dalam mStar.

Terdapat khabar angin di media sosial yang mengatakan beliau kemungkinan akan menyertai Akademi Cardiff City di United Kingdom kerana mempunyai hubungan baik dengan pemilik kelab itu, Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan.

https://twitter.com/APenge/status/416630701421645824

Lim Kim Chon dan Saad Ichalalene calon Pengarah Teknikal AMD

FAM melalui laman facebooknya semalam memberi bayangan awal mengenai calon baharu pengarah teknikal AMD apabila berkongsi kenyataan daripada Lim Kim Chong iaitu abang kepada Lim Teong Kim sendiri.

Lim Kim Chong merupakan bekas pengarah teknikal FAM merangkap bekas pengarah projek NFDP fasa 1 pada tahun 2011 hingga 2013. Beliau kemudian dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) untuk mengetuai bahagian pendidikan kejurulatihan pada tahun 2017.

Lim Kim Chon juga mempunyai pengalaman menjawat jawatan sebagai Pengarah Teknikal di Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta kaya dengan pengalaman kejurulatihan di peringkat akar umbi sehinggalah ke badan bola sepak dunia, FIFA.

Pada kejohanan Piala Dunia 2006, Lim Kim Chon adalah antara individu dari Malaysia yang dilantik sebagai ahli kumpulan teknikal FIFA untuk berkhidmat dalam bahagian kaji selidik.

sys-74708973975a70f822a2dedbd1707e1d
Lim Kim Chon

Saad Ichalalene pula kini memegang jawatan Pengarah Teknikal NFDP, dan disifatkan sebagai watak penting yang menanam DNA corak permainan moden dalam kalangan pelatih di NFDP.

Sebelum ini, Ihalelene memegang jawatan selaku Ketua Metodologi Kejurulatihan dan Peninjau Bakat NFDP pada tahun 2016 sebelum dilantik sebagai pengarah teknikal awal tahun ini

Bekas jurulatih Akademi Paris Saint Germain (PSG) itu berjaya membimbing skuad Bawah 12 Tahun (B-12) negara meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Remaja ASEAN B-13 di Hangzhou, China, minggu lepas.

23e-tournoi-sans-frontiere-tsf-la-tactique-au-coeur-de-la-fo_2554975
Saad Ichalalene ketika menjadi jurulatih dalam Akademi PSG

Segala-galanya kini terletak di tangan Menteri Belia dan Sukan yang akan membuat pengumuman rasmi dalam masa yang terdekat.

Bagaimanapun, peminat bola sepak tempatan boleh menarik nafas lega apabila FAM pada Februari lalu mengambil keputusan untuk menilai semula kontrak Teong Kim bagi mengekalkan khidmat bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu sehingga Piala Dunia 2030.