Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) semalam mengumumkan Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar sebagai pemilik saham terbesar Darulaman Football Club Sdn. Bhd.

Sebelum ini dalam satu majlis di Kuala Lumpur, beliau dilantik oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai Penaung KDA FC pada 25 November 2021.

Aktif memacu KDA FC sebagai penaung melalui pendanaan kelab serta jaringan besar dengan syarikat korporat, fasa seterusnya peranan Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar akan lebih besar dengan menentukan halatuju KDA FC ke peringkat lebih tinggi.

“Selaras dengan era penswastaan kelab bolasepak di Malaysia, penambahan pegangan saham dilihat strategi lebih dinamik untuk menarik lebih banyak peluang perniagaan di era bolasepak moden. Tan Sri Dr.

“Mohd Daud Bakar merupakan seorang usahawan dalam pelbagai bidang di samping memimpin beberapa agensi besar negara dan tepat pada masanya untuk membangunkan kelestarian kewangan, tadbir urus dan tata kelola, fasiliti, prasarana serta kualiti pemain dan kejurulatihan dalam KDA FC,” tulis kenyataan rasmi.

Sebagai pemilik saham majoriti, Daud Bakar kini berpeluang memenuhi hasratnya untuk membangunkan sebuah pusat latihan KDA FC yang bertaraf dunia dan diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Hasrat ini dinyatakan oleh beliau ketika sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Penaja dan Rakan Rasmi KDA FC 9 Februari lalu. Selain sebuah pusat latihan, ia juga bakal menjadi salah satu tarikan baru pelancongan di Kedah.

“Saya akan cuba membuat tanda aras untuk menjadikan training center Kedah ini bukan sekadar training center tetapi sebagai pusat tarikan tourist (pelancong) dari luar negara.

“Kita ada dua, tiga tapak tetapi kita bekerjasama dengan kerajaan negeri, insyaAllah apabila dapat tanah yang sesuai nanti kita akan lantik konsultan untuk buat rekaan 3D berdasarkan piawaian FIFA, kalau boleh, biarlah alang-alang buat, dapat FIFA punya endorsement,” katanya.

Pada masa sama, KDA FC turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), atas segala jasanya dalam membantu pasukan bola sepak negeri Kedah selama ini.

“KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Muhammad Sanusi, Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman dalam memacu dengan cemerlang pasukan bola sepak Kedah.

“Pemilikan saham oleh individu seperti Mohd Daud adalah langkah awal KDA FC ke arah penswastaan sepenuhnya sebelum 2023,” katanya.