Pengendali pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan lebih ramai khidmat pemain naturalisasi pada masa akan datang sekiranya mampu untuk meningkatkan lagi mutu serta kualiti skuad negara.

Menurut Cheng Hoe, dalam dunia bola sepak setiap jurulatih sudah pasti mahu pasukan yang dibimbing dibarisi oleh pemain terbaik. Walaupun begitu, fokus utama beliau ketika ini ialah mahu membina skuad yang dibarisi oleh pemain tempatan.

Tan Cheng Hoe
Tan Cheng Hoe

“Saya rasa semua jurulatih mahukan pemain terbaik dalam pasukan. Itu pasti diperlukan jurulatih tetapi untuk tempoh sekarang ini, pemain tempatan pun boleh memberi sesuatu kepada pasukan dan dalam masa sama ini adalah jangka pendek saja.

“Bukannya jangka panjang kerana kita masih perlukan pemain tempatan. Malah, dalam beberapa perlawanan, pemain tempatan dan pemain kacukan juga berjaya membentuk keserasian,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Ketika ini, tiga pemain kacukan iaitu Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong dan Brendan Gan serta seorang tonggak naturalisasi, Mohamadou Sumareh beraksi bersama pasukan negara dalam dua perlawanan awal kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

naturalisasi
Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi

Dua lagi pemain iaitu Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi dikhabarkan semakin hampir untuk mengikut jejak langkah Sumareh dan akan menyarung jersi pasukan negara selewat-lewatnya tahun hadapan.

Pada masa yang sama, Tan Cheng Hoe turut mengingatkan status sebagai pemain kacukan mahupun naturalisasi tidak menjamin tempat dalam pasukan negara kerana apa yang penting ialah prestasi.

“Sebagai jurulatih, kita kena tengok mana yang kita perlu. Kalau dia (pemain kacukan atau naturalisasi) ada minit permainan dan main dengan konsisten, kita akan ambil. Tapi kalau dia ada minit permainan tapi tak konsisten, kita kena lihat juga mungkin tak ambil,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai pemain naturalisasi negara di sini:

Guilherme De Paula Dan Liridon Krasniqi Semakin Hampir Jadi Pemain Naturalisasi

FAM, KDN Bincang Program Naturalisasi

Lee Tuck Minta Bantuan PBNST Percepat Proses Naturalisasi