Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe menegaskan dua pemain importnya, Ayron del Valle dan Yohandry Orozco masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pasukan selepas diturunkan pada aksi pembukaan saingan Liga Super 2023.

Ayron dan Orozco diturunkan dalam kesebelasan utama oleh Cheng Hoe dalam aksi menentang Kelantan United di Stadium MBPJ semalam yang menyaksikan pasukan tuan rumah berjaya mengutip tiga mata hasil kemenangan tipis 1-0.

Kedua-dua pemain menampilkan prestasi yang kurang memberangsangkan dan menurut tinjauan Vocket FC di laman media sosial, peminat melontarkan kritikan terhadap persembahan kedua-dua pemain.

Ketika sidang media selepas perlawanan, Tan Cheng Hoe menegaskan kedua-dua pemain masih lagi dalam proses menyesuaikan diri selain mempunyai isu kecergasan.

“Kalau kita baca di sosial media, pemain terbaik dunia pun selalu dapat kritikan. Tetapi saya sebagai ketua jurulatih saya masih lagi yakin dengan Ayron dan Orozco. Saya dah banyak kali cakap, mereka datang agak lewat terutama Orozco. Dia baru sepuluh hari bersama pasukan. Bukan mudah untuk mereka terus menampilkan prestasi terbaik.

“Selain itu, beliau juga ada isu kecergasan, oleh itu kita terpaksa rehatkan beliau pada separuh masa kedua. Kita tengok Ayron masih lagi menyesuaikan diri dengan pasukan. Kalau kita lihat secara mendalam, saya rasa beliau sudah memberikan yang terbaik,” katanya

Yazan Al-Arab menjadi wira Selangor apabila pemain dari Jordan itu menjaringkan gol tunggal pada separuh masa pertama hasil daripada sepakan sudut yang diambil Faisal Halim sekaligus memberikan tiga mata pertama bagi Selangor.

Selepas ini, skuad Gergasi Merah akan terbang ke Borneo dimana mereka akan turun menentang Kuching City yang turut mencatat kemenangan pada perlawanan pertama dengan menewaskan TRW Kelantan dengan keputusan 2-1.