Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui Bojan Hodak mempunyai strategi tersendiri untuk memperdayakan lawan dalam aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, malam ini.

Jelasnya, pertembungan Kuala Lumpur dan Selangor sentiasa dinantikan warga Lembah Klang dan tidak menolak pasukan tuan rumah akan hadir dengan percaturan yang sukar dijangka di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Cheng Hoe melihat ketenangan Hodak untuk menghadapi perlawanan malam ini sebagai salah satu strategi mereka yang pastinya tidak boleh diambil mudah oleh barisan pemain Selangor.

Bagaimanapun Cheng Hoe percaya tahap keyakinan anak buahnya ketika ini semakin tinggi di mana mereka juga telah belajar daripada kesilapan ketika tewas 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari.

“Ini adalah perlawanan Derby Lembah Klang di mana semua pemain memang cukup semangat untuk memenangi aksi ini.

“Itulah mungkin sebahagian daripada perang psikologi Bojan Hodak kepada kita yang mana beliau ada taktik tersendiri daripada segi memotivasikan pemain.

“Tetapi Selangor lebih bersedia kali ini dan kita memang perlukan satu keputusan positif selepas tewas tempoh hari.

“Kita kena lupakan aksi lawan JDT untuk kita jadikan satu pengajaran kepada pasukan dan mereka bekerja keras untuk pastikan tidak lagi mengulangi kesilapan ketika berdepan Kuala Lumpur nanti”, jelasnya.

Meskipun kesuntukan masa untuk mempersiapkan kebanyakan barisan pemain yang sebelum ini terlibat dalam skuad kebangsaan, Cheng Hoe percaya kelebihan pemain lain yang tetap bersedia untuk diturunkan.

“Kuala Lumpur sentiasa mantap dari segi pertahanan dan juga serangan balas, bahkan mereka juga ada beberapa pemain merbahaya seperti Caion dan Tchetche Kipre.

“Tetapi kita juga ada strategi sendiri walaupun agak kesuntukan masa untuk mempersiapkan pasukan dan saya positif dengan semua pemain yang ada bukan sahaja dalam kesebelasan utama.

“Jadi sesiapa sahaja pemain yang diturunkan saya percaya mampu beri impak yang baik”, tambah Tan Cheng Hoe lagi.