Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sebelum ini bercadang untuk mengadakan latihan pusat bagi menilai prestasi pemain selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penyebaran wabak COVID-19.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) minggu lalu mengeluarkan kenyataan mengenai penangguhan semua perlawanan antarabangsa pada bulan Jun dan kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain mereka jika mendapat panggilan daripada skuad kebangsaan.

Justeru itu, Cheng Hoe mungkin bakal berdepan masalah untuk mengumpulkan pemain terbaik bagi membuat persiapan rapi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang UAE, Vietnam dan Thailand.

“Jika kelab membuat keputusan untuk tidak melepaskan pemain, saya kena cari pilihan lain. Sebagai jurulatih, sudah tentu saya mahu pemain terbaik melaporkan diri untuk latihan pusat.

“Saya berharap semuanya akan bertambah baik. Saya kena tunggu sampai ia benar-benar selamat di luar sana. Mudah-mudahan, Covid-19 dapat dibendung secepat mungkin, kerana pada masa ini, bola sepak masih terhenti,” katanya dipetik dalam New Straits Times.

harimau malaya
SUMBER: FAM

Malaysia sepatutnya menentang UAE dan Vietnam pada bulan Mac lepas namun ia terpaksa ditangguhkan selepas kes wabak pandemik mencatat peningkatan yang mendadak sehingga menjejaskan perjalanan liga masing-masing.

Malah, Cheng Hoe juga bimbang dengan jadual padat yang sedang menanti pemain kerana ia berisiko untuk mendatangkan kecederaan serius.

“Kebimbangan disini ialah jadual perlawanan. Kami mungkin akan berdepan jadual yang cukup padat dan ini akan mendatangkan kecederaan apabila musim bola sepak kembali bersambung.

“Kami harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Saya juga perlukan ‘pool’ pemain yang lebih besar,” jelasnya.

Pengendali yang berusia 51 tahun itu kini berada di Pulau Pinang dan turut memantau video latihan pemain di media sosial sepanjang tempoh PKP.

“Saya ada ikut media sosial semua pemain dan menonton video latihan mereka di rumah. Tetapi beraksi di perlawanan kompetitif dengan latihan individu adalah dua perkara yang berbeza.

“Saya harap mental pemain akan lebih kuat selepas ini,” ujarnya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

‘Ekor’ Harimau Malaya Terlalu Bising Di Stadium, Hampir Mustahil Untuk Dengar Arahan Dalam Padang

New Zealand Mungkin Jadi Lawan Harimau Malaya

Safee Sali Intai Peluang Sertai Skuad Harimau Malaya Dalam Kelayakan Piala Dunia 2022