Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe memuji persembahan yang ditampilkan oleh pemain tengah, Brendan Gan pada perlawanan kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Menurut Cheng Hoe, faktor baru sahaja mendapat cahaya mata memainkan peranan besar terhadap persembahan yang ditampilkan oleh Brendan.

Tan

Sumber Gambar: PFAM

“Saya rasa beliau bersemangat kerana baru sahaja mendapat cahaya mata. Dari hari pertama beliau menyertai kem latihan, Brendan telah membuat persediaan rapi bagi menghadapi perlawanan ini.

“Pemain-pemain muda perlu belajar sesuatu daripada Brendan kerana bukan mudah apatah lagi beliau pernah mengalami kecederaan lutut yang memaksanya menjalani dua pembedahan.

“Bukan satu perkara yang mudah untuk bangkit setelah mengalami kecederaan lutut. Tetapi disebabkan kesungguhan beliau, Brendan dapat menampilkan prestasi terbaik,” kata Cheng Hoe pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Pada masa yang sama, Tan Cheng Hoe turut melahirkan rasa gembira kerana pasukan negara kembali meraih kemenangan sekaligus mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Pujian wajar diberikan kepada pemain kerana mereka telah memberikan segalanya bagi memastikan pasukan meraih kemenangan.

“Tetapi apa yang dicapai ini baru separuh daripada perjalanan kita dalam kempen kelayakan kali ini. Kita masih lagi mempunyai empat perlawanan. Kemenangan ke atas Thailand memberikan motivasi untuk kita meraih kemenangan pada perlawanan akan datang,” ujar Cheng Hoe.

Chanathip Songkrasin memberikan kelebihan awal untuk Thailand sebelum Brendan Gan menjaringkan gol penyamaan pada separuh masa pertama. Pada babak kedua, Mohamadou Sumareh menjadi wira apabila menjaringkan gol kemenangan.

Baca artikel lain mengenai perlawanan antara Malaysia menentang Thailand di sini:

Rembatan Padu Mohamadou Sumareh Leburkan Rekod Tanpa Kalah Thailand

Datuk Hamidin Mahu Pemain Tunjukkan Taring Sebenar Bertemu Thailand

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group