Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe optimis skuad Harimau Malaya mampu untuk meraih keputusan positif pada perlawanan kedua peringkat kumpulan G kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada esok.

Menurut Cheng Hoe, sebagai ketua jurulatih, beliau mempunyai keyakinan namun perlawanan menentang UAE bakal menjadi satu tugas sukar untuk pemain.

Bert van Marwijk and Tan Cheng Hoe
Bert van Marwijk and Tan Cheng Hoe

“Meskipun UAE tidak beraksi pada perlawanan pertama, namun mereka mempunyai persiapan yang cukup baik. Jurulatih (Bert van Marwijk) saya rasa telah menyaksikan perlawanan kami menentang Indonesia.

“Pada masa yang sama, sebagai jurulatih saya mempunyai keyakinan bahawa pasukan ini mampu untuk mencapai keputusan positif. Namun, perlawanan esok bakal menjadi perlawanan yang sukar,” kata Cheng Hoe ketika sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Tambah Cheng Hoe, beliau mahu pemainnya untuk tidak memberikan tumpuan terhadap seorang pemain lawan sahaja iaitu Omar Abdulrahman kerana UAE mempunyai ramai pemain yang mampu untuk mencipta sesuatu buat pasukan.

UAE Malaysia
Bert van Marwijk and Tan Cheng Hoe

“Mana-mana pasukan sudah pasti mempunyai seorang pemain yang mampu untuk mencipta sesuatu. Tetapi, tumpuan tidak harus diberikan terhadap seorang pemain sahaja.

“Ini kerana ramai pemain UAE mempunyai kualiti berbeza kerana mereka pernah beraksi di pentas terbaik.

Ketika ditanya mengenai sasaran sama ada mahu beraksi di Piala Asia atau Piala Dunia, bekas ketua jurulatih pasukan Kedah itu menyatakan semua pihak mahu beraksi di pentas tertinggi.

Pemain Malaysia
Pemain negara menjalani latihan di SNBJ. Sumber Gambar: FAM

“Saya pasti semua pihak mempunyai impian untuk mara ke peringkat seterusnya. FAM telah menetapkan sasaran untuk layak ke Piala Asia 2023. Pada masa yang sama, tugas sukar menanti kami untuk memastikan Malaysia layak ke pusingan ketiga. Ianya menjadi impian semua pihak,” tambahnya.

Setelah berjaya menewaskan Indonesia pada perlawanan pertama, pemain kini berada dalam prestasi terbaik dan dijangka mereka bakal memberikan tentangan sengit kepada pemai pasukan lawan.

Artikel lain mengenai perlawanan antara Malaysia menentang UAE di sini:

Bert van Marwijk: Malaysia Miliki Pemain Yang Pantas Dan Kemahiran Teknikal Yang Baik

Datuk Hamidin Yakin Malaysia Mampu Tewaskan UAE

Tan Cheng Hoe Minta Pandangan Ong Kim Swee Bagaimana Cara Untuk Tewaskan UAE