Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe disebut-sebut bakal mengendalikan skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22) selepas kontrak Datuk Ong Kim Swee tidak dilanjutkan ekoran prestasi hambar dalam temasya Sukan SEA di Filipina baru-baru ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalinggam menjelaskan pihaknya tidak terburu-buru mencari pengganti Kim Swee dalam masa terdekat kerana skuad Malaysia B-22 tidak terlibat dalam apa-apa kejohanan penting pada tahun depan.

Malah, berdasarkan kenyataannya dalam New Straits Times, Stuart tidak menolak kemungkinan FAM akan mengikut jejak langkah Vietnam dan Thailand yang menggunakan khidmat jurulatih senior seperti Park Hang Seo dan Akira Nishino untuk bimbing pasukan muda.

“Kalau anda lihat di negara lain, apa yang mereka lakukan ialah menggunakan khidmat barisan jurulatih pasukan senior untuk bimbing pasukan remaja.

“Untuk tahun depan, tiada apa-apa kejohanan penting yang perlu dihadapi oleh pasukan Malaysia B-22. Oleh itu, FAM masih mempunyai banyak masa untuk menentukan calon jurulatih yang terbaik,” katanya.

Pengadil
Sumber Gambar: FAM

Ong Kim Swee sebelum ini membantu Malaysia meraih pingat emas dalam temasya Sukan SEA pada tahun 2011 dan pingat perak edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Pencapaian terbaik beliau ialah membawa Malaysia mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China sebelum melakar kejayaan membanggakan dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam saingan peringkat kumpulan temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta.

“Kami telah berbincang mengenainya (tentang kontrak) bersama dia dan walaupun kami memutuskan untuk tidak melanjutkan kontraknya, semua perlu memahami bahawa dia sudah bersama kami untuk tempoh yang lama.

“Banyak pasukan lain pasti akan memburu khidmatnya dan beliau mempunyai reputasi yang hebat tetapi kami merasakan ada bidang lain yang dia dapat membantu kami,” jelasnya.

Selain Tan Cheng Hoe, antara calon jurulatih lain yang menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan ialah Brad Maloney yang berjaya membawa skuad Malaysia B-18 mara ke kejohanan AFC B-19 secara merit pada tahun depan.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia yang kami sediakan untuk anda melalui pautan dibawah.

SC Heerenveen Tidak Benarkan Doan Van Hau Beraksi Untuk Vietnam Dalam AFC U23 Championship 2020

Liverpool Bersiap Sedia Untuk Dapatkan Takumi Minamino, Sedia Bayar Klausa Pelepasan £7.25 Juta

Bekas Pemain VfB Stuttgart, Hajime Hosogai Sertai Bangkok United